RENCANA: Catatan hampir usia 50 tahun.
Sulaimansalleh2015@gmail.com
TARIKH 8hb Jun 2021, tempoh kurang dua bulan, usia penulis genap 50 tahun. Pada usia warga emas, terimbau pelbagai liku-liku perjalanan pernah diharungi terutamanya perjalanan sebagai seorang penulis.
Penulis ceburi bidang penulisan sekitar awal tahun 1990-an iaitu pada usia 19 tahun, didorong jiwa memberontak penulis menjadikan penulisan sebagai laluan untuk mencurahkan perkara-perkara yang bermain di fikiran.
Kebanyakan karya-karya sajak dan cerpen yang dihasilkan dihantar ke media-media cetak dan elektronik ketika itu, antaranya Berita Harian, Utusan Malaysia, Radio 3 Melaka, Radio 3 Johor Bahru dan beberapa majalah lain.
Setiap bayaran sajak yang diterima berjumlah antara RM15 hingga RM20 setiap kali karya disiarkan. Bayaran yang diterima memberi semangat kepada penulis untuk terus berkarya. Hampir setiap bulan, penulis mendapat hampir RM100 hingga RM150 hasil daripada karya yang disiarkan.
Bayaran yang diterima itu dianggap lumayan ketika itu kerana penulis mampu membeli sehelai t-shirt baharu pada harga RM5 sehelai serta upah kerja di sektor pekilangan sekitar RM600 sebulan.
Seingat penulis, setiap kali dalam perjalanan pulang dari sekolah atau kelas tambahan, ketika berbasikal penulis akan merangka sekurang-kurangnya sebuah sajak dan mengingatinya. Apabila sampai ke rumah, penulis akan mencatitkannya. Selepas waktu solat Isyak, kebiasaannya penulis akan mengarang dengan lebih kemas sajak berkenaan sebelum keesokan hari dipos ke media yang dirasakan sesuai.
Tamat Alam Persekolahan
Penulisan cerpen, dimulakan ketika penulis sedang menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Seperti pemulaan penulisan sajak yang disiarkan di media-media, penulis juga mula menulis dan menghantar cerpen ke media-media cetak dan elektronik yang menyediakan ruang untuk karya itu.
Pendapatan penulis hasil karya kreatif ketika itu semakin bertambah hingga apabila karya berbentuk cerpen yang dihasilkan penulis turut disiarkan di beberapa media tempatan.
Ketika itu juga penulis membeli sebuah mesin taip dan belajar menaip di sebuah pusat latihan di bandar Muar. Beberapa minggu selepas itu, penulis berupaya menghasilkan karya dengan cepat dan kemas, terutamanya karya cerpen.
Sepanjang belajar menaip di pusat latihan itu, niat penulis hanya untuk belajar menaip dengan lebih pantas bagi menghasilkan karya yang baik. Suasana pembelajaran yang kurang sesuai serta bunyi bingit daripada ketukan mesin taip ketika itu adalah pengalaman baharu yang belum pernah dirasakan.
Suasana pembelajaran yang kurang sesuai, hanya seorang tenaga pengajar dengan pelajar lebih 20 orang dalam satu-satu masa, serta terdapat gangguan tidak disenangi membuatkan penulis berhenti dari kelas latihan menaip berkenaan.
Kisah yang dicoretkan itu adalah kenangan lebih 30 tahun lalu dan penulis berpandangan ianya tidak sesuai dikisahkan kembali, kerana individu yang terbabit dalam kejadian berkenaan masih menantikan sesuatu keajaiban daripada seseorang yang dianggap 'misteri' hingga kini.
Kembali pengalaman sebagai penulis. Sebagai seorang remaja, penulis tidak terkecuali menghasilkan karya-karya puisi dan cerpen berunsur cinta. Keazaman penulis ketika itu untuk meluaskan erti cinta kerana pengalaman 'cinta tidak kesampaian' dengan seseorang yang dikenali ketika di tingkatan enam banyak mengajar penulis erti kehidupan, kehidupan yang harus disempurnakan.
Hasil daripada karya cerpen dilihat lebih baik bayarannya berbanding sajak, dan penulis mula menumpukan pada penulisan cerpen. Selepas itu, penulis cuba mengembangkan beberapa karya cerpen yang dihasilkan menjadi karya novel.
Cara penulisan cerpen dan novel yang berbeza membuatkan novel itu tidak sesuai diterbitkan. Ketika itu, penulis kurang berpengalaman dalam dunia penerbitan buku terutama karya yang sesuai diterbitkan atau diperbaiki sebelum diterbitkan.
Cinta Tidak Kesampaian
Disebabkan 'cinta tidak kesampaian' itu membuatkan jiwa penulis terasa semakin peka dengan keadaan sekeliling dan mula memikirkan perancangan di masa hadapan.
Ketika itu, kebiasaannya selepas solat waktu penulis akan berdoa semoga dipermudahkan perjalanan kehidupan untuk berada di 'menara gading'.
Juga, penulis selalu berdoa semoga perancangan kehidupan di masa hadapan dapat dijadikan suatu kenyataan. Penulis sedar, tanpa ilmu pengetahuan, pastinya perancangan masa hadapan akan sukar dicapai.
Oleh itu, masa yang panjang ketika menunggu keputusan STPM, penulis banyak menghabiskan waktu di perpustakaan awam dan hampir separuh daripada buku-buku di perpustakaan awam di bandar Muar dibaca oleh penulis.
Kebanyakan buku-buku yang dibaca adalah karya-karya kreatif iaitu koleksi cerpen, koleksi sajak, novel-novel serta buku bacaan umum.
Pengajian di ITM
Doa harian penulis itu dimakbulkan Allah SWT apabila pada pertengahan tahun 1992, penulis diterima melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (ITM), kini dikenali Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Bakat penulis yang diasah berasaskan minat dalam bidang penulisan dapat dikembangkan dengan lebih teratur apabila diterima melanjutkan pelajaran di ITM dalam bidang Pengajian Am.
Penulis memilih pengkhususan penerbitan yang pengajiannya lebih kepada penghasilan buku dan majalah serta sesuai dengan bakat yang ada pada penulis ketika itu.
Pada akhir tahun pengajian, penulis memilih latihan amali di Creative Enterprise, dan peluang itu membantu penulis mengetahui karya sesuai yang dikehendaki oleh penerbit berkenaan.
Sebuah karya penulis diterima dan diterbitkan atas nama syarikat Creative Enterprise, peluang yang membantu penulis untuk menghasilkan karya novel yang lain.
Industri Media
Pada akhir tahun 1995, iaitu kira-kira dua minggu selepas peperiksaan akhir berakhir, penulis ditawarkan bekerja di Pustaka Delta Sdn Bhd bagi membantu penghasilan buku-buku novel dan bacaan umum.
Industri media ketika itu begitu menggalakkan dan syarikat penerbitan berkenaan mulai berminat untuk menerbitkan sebuah majalah kartun, dan mulai menerbitkan majalah 'Din Beramboi', tetapi beberapa ketika kemudian penerbitan majalah itu dihentikan dan diterbitkan pula majalah 'Din Lawak'.
Penulis diberi amanah sebagai editor untuk majalah 'Din Lawak' dan banyak pengalaman diperolehi ketika berada di majalah berkenaan. Penulis semakin merasakan 'dunia glamor' yang harus diharungi dengan rakan-rakan kartunis yang menyumbang dalam majalah humor berkenaan.
Bagaimanapun, kegawatan ekonomi dunia pada 1997/1998 memberi kesan kepada penulis untuk terus berada dalam dunia penerbitan buku secara langsung. Kegawatan itu memaksa penulis beralih ke kerjaya kewartawanan apabila mula bekerja di Kumpulan Karangkraf pada tahun 1999.
Pada mulanya, penulis terasa berat untuk menerima pekerjaaan itu kerana pekerjaannya sangat mencabar tetapi disebabkan sudah tiada pekerjaan tetap hampir 10 bulan, penulis menerima pekerjaan yang memerlukan seseorang yang agresif iaitu perlu bertindak pantas dan sentiasa bersedia apabila diperlukan.
Sentiasa bersedia melaksanakan tugas terutama tugas yang mencabar dilihat banyak mematangkan penulis kerana pengalaman berkaitan isu kemasyarakatan membantu diri menuju ke arah kemajuan iaitu lebih progresif.
Berdasarkan isu-isu kemasyarakatan itu, penulis berjaya menghasilkan empat karya novel hingga penulisan ini dihasilkan. Bagaimanapun, terdapat dua karya penulis menerima nasib malang apabila penerbit enggan membayar loyalti dan hanya loyalti pendahuluan diterima.
Sejumlah hampir RM10,000 gagal dibayar oleh penerbit berkenaan dan penulis kecewa kerana ditipu oleh penerbit dan bercadang menerbitkan sendiri karya yang dihasilkan.
Novel bertajuk "Janji Lelaki" yang dihasilkan semasa penulis bertugas sebagai wartawan sambilan di Seremban, diterbitkan atas usaha penulis sendiri.
Kemudahan teknologi pencetakan masa kini dan rangkaian internet, menarik penulis melihatnya sebagai peluang yang harus dimanafaatkan.
Akhir bicara, catatan ringkas ini adalah perkongsian ikhlas daripada penulis dan semoga ianya memberi manafaat kepada mereka yang berminat menceburi bidang penulisan.
Note: mohon klik iklan selepas membacanya dan terima kasih atas kerjasama yang diberikan.
(Penulisan ini dikemaskini pada 10.4.2021: jam 10.00 pm)
Penulis tidak bertanggungjawab terhadap pandangan melalui artikel ini dan ianya adalah pandangan peribadi daripada pemberi sesuatu pandangan.
Sulaimansallehkuis2.blogspot.com @ copyright2020
Ulasan
Catat Ulasan