COVID-19: Penularannya, Malaysia pernah hampir menang.
Oleh Sulaiman Salleh
Sulaimansalleh2015@gmail.com
![]() |
Gambar ehsan Kementerian Kesihatan Malaysia |
GELOMBANG kedua penularan Covid-19 di Malaysia sejak 7 September lalu dilihat masih belum dapat dikawal sepenuhnya apabila kebanyakan jangkitan harian lepasi tiga angka.
Pada Mac 2020 lalu, Malaysia pernah mengharungi gelombang pertama Covid-19 di negara ini dan beberapa bulan selepas itu, penularannya dapat dikurangkan pada jumlah kurang daripada dua angka atau kurang 10 jangkitan sehari.
Bagi mengawal penularan gelombang kedua Covid-19, penulis berpandangan kejayaan yang hampir dicapai sebelum ini harus dikembalikan ingatan terhadapnya.
Secara ringkasnya, terdapat 23 faktor menyebabkan Malaysia hampir berjaya mengawal penularan Covid-19:
1. Kerja berkumpulan dari seluruh rakyat Malaysia. Hasilkan PPE atau pakaian pelindung dalam masa yang singkat oleh mereka yang mempunyai kemahiran dalam penghasilannya. Termasuk pelajar kolej, banduan di penjara, pereka fesyen dan mereka yang mempunyai pengetahuan menghasilkan PPE.
2. Hormati dan menyokong barisan hadapan yang bertugas. Petugas barisan hadapan turut diberi insiatif oleh kerajaan bagi menghargai tanggungjawab yang dilaksanakan.
3. Kuarantin terhadap mereka yang baru pulang dari luar negara untuk tempoh dua minggu. Langkah kerajaan ini bagi mengelakkan Covid-19 berjangkit kepada rakyat dalam negara.
4. Gelandangan diberi perlindungan sementara. Golongan ini diletakkan di suatu tempat dan dilakukan saringan. Selepas beberapa minggu kemudian, mereka yang masih berupaya bekerja diberi peluang temuduga pekerjaan yang dikosongkan terutama oleh pendatang tanpa izin.
5. Kerjasama daripada semua ahli politik dengan melupakan ideologi politik mereka.
6. Bantuan sara diri dari kerajaan. Bantuan ini bagi meringan beban rakyat yang hilang pekerjaan semasa PKP.
7. Universiti membenarkan penuntutnya yang terkandas untuk terus tinggal di kediaman universiti dengan bantuan makanan serta kemudahan lain.
8. Kemudahan moratorium pembiayaan kepada pelanggan bank perdagangan dalam negara, selama enam bulan bermula 1 April 2020, seperti mana diumumkan oleh Bank Negara Malaysia pada 25 Mac lalu.
9. Kluster jangkitan awal dikesan, kerjasama kluster jangkitan dan komuniti masyarakat membantu mengesan pesakit baru dari kalangan kluster berkenaan.
10. Membina hospital sementara yang pantas dan disiapkan dalam tempoh tiga hari saja di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
11. Sukarelawan secara langsung yang membantu pelbagai bantuan, samada bantuan makanan, tenaga dan pengalaman. Bantuan yang dihulurkan juga mendapat kebenaran dan nasihat daripada kerajaan terlebih dahulu, supaya tidak berlaku pertindihan pengagihan dan pembaziran.
12. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020. PKP dilaksanakan secara bijaksana, teliti dan tegas.
13. Barisan doktor dan kakitangan perubatan terlatih.
14. Pengalaman Malaysia tangani krisis. Contohnya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)membantu mereka yang kehilangan pekerjaan.
15. Pemimpin negara yang berpengalaman ketika berhadapan dengan krisis dan konflik.
16. Sikap keterbukaan serta prihatin pemimpin nombor satu negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terutamanya dalam memberi semangat kepada barisan hadapan dalam melaksanakan tugas menangani penularan Covid-19.
17. Maksimumkan penggunaan media sosial dalam menyampaikan maklumat mengenai Covid-19.
18. Pengamal media diberikan peluang membuat liputan dari semasa ke semasa mengenai Covid-19.
19. Ketelusan pemimpin negara dalam salurkan maklumat harian mengenai Covid-19. Semasa PKP, setiap hari Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah akan menyampaikan maklumat terkini berkaitan Covid-19.
20. Membantu golongan pendatang tanpa izin membuat saringan secara percuma.
21. Peka dengan aduan rakyat, termasuk yang disiarkan di media sosial.
22. Memantau dan menangkis laporan berita palsu di media sosial. Laman sesawang Sebenarnya.my digunakan sebagai medium utama menangkis berita palsu yang disiarkan di media sosial. Hingga penulisan ini dihasilkan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengeluarkan kira-kira 300 penafian serta penjelasan bagi membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19.
23. Mengawal kemasukan pendatang tanpa izin terutama di lorong-lorong tikus sepanjang sepadan negara.
Malaysia harus menang memerangi Covid-19, semoga rakyat negara ini terus bersatu hingga virus berbahaya yang tidak mampu dilihat dengan mata kasar terus lenyap di bumi bertuah ini.
Penulis tidak bertanggungjawab terhadap pandangan melalui artikel ini dan ianya adalah pandangan peribadi daripada pemberi sesuatu pandangan.
Sulaimansallehkuis2.blogspot.com @ copyright2020
Ulasan
Catat Ulasan