COVID-19: 11 kes baru, 5 kes libatkan pelajar sekolah rendah.
![]() |
Gambar ehsan Kementerian Kesihatan Malaysia |
COVID-19 tidak mengenal usia menyebarkan virusnya apabila lima pelajar sekolah rendah di Kedah didapat positif dari Kluster Tawar.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato' Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kelima-lima pesakit kanak-kanak terbabit adalah antara 11 jangkitan baru Covid-19 di negara ini.
Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan lima kes baharu yang melibatkan pelajar-pelajar sebuah sekolah rendah di Kedah membabitkan Kluster Tawar.
"Mereka dikenalpasti mengidap penyakit Covid-19 melalui pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat kes-kes positif," katanya melalui laporan media sosial rasmi KKM, hari ini.
Menurut Noor Hisham, hasil siasatan yang dilakukan KKM mendapati kesemua kanak-kanak terbabit adalah kontak rapat seorang pelajar prasekolah yang dilaporkan pada 16 Ogos lalu.
"Sehingga 25 Ogos 2020, jam 12 tengahari seramai 3547 orang dari Kluster Tawar membabitkan lokasi Kedah, Pulau Pinang dan Perak sudah disaring," katanya.
Katanya, seramai 70 individu disahkan mengidap Covid-19 dari Kluster Tawar.
Sementara itu, Noor Hisham mengingatkan semua pihak sekolah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.
"SOP berkenaan termasuk sebelum, semasa dan selepas sesi persekolahan," katanya.
Noor Hisham berkata, ibubapa juga perlu memainkan peranan menasihati dan mendidik anak-anak mereka mengenai amalan-amalan yang perlu dipraktikkan bagi mencegah jangkitan Covid-19
Ulasan
Catat Ulasan