COVID-19: Pencegahan, vaksin atau SOP
![]() |
Gambar ehsan Kementerian Kesihatan Malaysia |
DUNIA hari ini dikatakan berhadapan gelombang baru Covid-19 dan peningkatan itu dilihat sedang berlaku di beberapa negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Hingga penulisan ini dikemaskini, jangkitan di seluruh dunia akibat Covid-19 berjumlah lebih 41.92 juta jangkitan dengan 1,140,010 kematian.
Dunia hari ini seolah-olah menanti keajaiban berlaku dengan penemuan vaksin penyembuh pandemik Covid-19 ini.
Malangnya, hingga kini vaksin penyembuh Covid-19 masih belum benar-benar ditemui dan dakwaan beberapa negara bahawa vaksin penyembuhnya sudah ditemui seolah-olah cerita rekaan yang dibesar-besarkan bagi matlamat tertentu.
Baru-baru ini Agensi Perubatan Eropah (EMA) menyatakan pihaknya sedang menyiasat laporan kemungkinan kerosakan buah pinggang terhadap pesakit yang menggunakan ubat antiviral remdesivir yang dihasilkan oleh Gilead.
Gilead adalah syarikat farmaseutikal yang mengesyorkan penggunaan ubat antiviral yang dihasilkan pada Jun lalu dengan dakwaan ubat berkenaan berupaya mengurangkan tempoh rawatan di hospital terhadap pesakit Covid-19.
Malah, kuasa ekonomi dunia seperti China dan Russia turut mendakwa berjaya menghasilkan vaksin penyembuh Covid-19.
Bagaimanapun, dakwaan negara-negara terbabit seolah-olah tidak berasas kerana jangkitan Covid-19 di negara berkenaan masih berlaku dan jangkitan harian pula semakin bertambah.
Menanti keajaiban vaksin Covid-19 yang benar-benar berkesan bukanlah cara terbaik mengawal penularan Covid-19, sebaliknya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah langkah terbaik.
Ulasan
Catat Ulasan