ASAS PENULISAN RENCANA

Sulaimansalleh2015@gmail.com

 

SULAIMAN SALLEH 

PENSYARAH JABATAN BAHASA INGGERIS DAN KOMUNIKASI 

FAKULTI PENGURUSAN DAN MUAMALAH (FPM) 

KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR 

 

__________________________________________________________________________

 

“PENULISAN RENCANA PENDEK” 

 

 

PENGENALAN 


Penulisan secara umumnya adalah luahan fikiran seseorang melalui perantaraan penulisan yang dihasilkan, samada diperolehi daripada pengalaman atau ilmu yang ada pada dirinya. Penulisan yang dihasilkan itu seterusnya dikongsikan bersama-sama individu lain. 



Terdapat beberapa faktor yang mendorong seseorang untuk menulis sesuatu penulisan. Faktor-faktor terbabit dapat dibahagikan kepada faktor dalaman dan luaran.  


Menyentuh mengenai faktor dalaman, ianya berkaitan kepuasan yang wujud dalam diri penulis iaitu minat, tuntutan ilmu, wang, pengiktirafan dan tujuan tertentu sesuatu penulisan itu dihasilkan. 


Faktor luaran pula berkaitan dengan kepuasan yang datang dari luar diri penulis, iaitu keinginan untuk memberitahu, mendidik, membujuk dan menghiburkan khalayak pembaca serta menyelesaikan permasalahan masyarakat. 


Seharusnya difahami bahawa sesuatu penulisan rencana yang dihasilkan haruslah berupaya menarik perhatian khalayak atau pembaca. Terdapat penulis rencana yang berminat menghasilkan sesuatu rencana kerana faktor luaran sahaja dan sebaliknya. Harus difahami sesuatu rencana yang disiarkan di media samada media cetak atau media sosial, ianya mempunyai khalayak yang berminat membaca rencana yang dihasilkan atau sebaliknya. 


Nilai Rencana 


Berdasarkan persoalan mengenai nilai sesuatu rencana, di sini penulis yang berlatarbelakang bidang komunikasi mengaitkan nilai sesuatu maklumat dengan rencana yang seharusnya dihasilkan. Rencana yang sesuai disiarkan di media cetak dan juga sosial seharusnya lebih sesuai dengan kehendak khalayak atau pembaca. 


Maklumat. Maklumat yang diperolehi haruslah:  


a. Minat. Penulis harus memiliki kepekaan intuisi untuk mengetahui persoalan bagaimanakah yang dikatakan berupaya menarik minat khalayak. Terdapat tiga perkara secara umumnya dipercayai berupaya dijadikan kepekaan intuisi iaitu drama, emosi dan latar belakang. Sesuatu konflik dan persengketaan yang dapat membangkitkan rasa hiba, tangis, marah dan maklumat pada orang yang menjadi sasaran berita biasanya dinamakan daya pikat manusiawi.


b. Kesan. Kesan sesuatu peristiwa atau isu pada masyarakat atau khalayak adalah satu lagi kayu ukur penting bagi menentukan sesuai ataupun tidak perkara itu ditulis menjadi berita atau rencana. Semasa pasaran saham di bursa saham melonjak, pemain saham hendak tahu bagaimana kemungkinannya pada esok hari, minggu depan dan bulan depan. Apabila wartawan dapat menulis berita atau rencana yang informatif dan meyakinkan berkaitan potensi pasaran, tulisan itu pasti menjadi buruan pembaca dan nama wartawan cepat dikenali. 


c. Konflik. Sengketa sentiasa menarik perhatian penulis, pemberita dan wartawan. Tidak kira konflik rumah tangga membabitkan artis, pemimpin, serantau atau dunia ianya sering mendapat liputan dan disiarkan di halaman depan sesuatu media. Contohnya, konflik antara umat Islam di Selatan Thailand dengan pemimpin Thailand. Ianya seolah-olah satu perasaan seagama di kalangan masyarakat Islam di negara ini untuk mengetahui perkembangannya. 


d. Semasa. Apa-apa persoalan yang dikemukakan, selain benar, perlu memiliki ciri semasa. Semasa tidak semestinya bermaksud semalam, hari ataupun esok. Perkara yang berlaku berabad-abad dan beratus-ratus tahun dahulu pun boleh dikatakan baharu apabila rencana itu berjaya menyingkap elemen baharu. Contohnya, Krakatua yang meledak pada tahun 1886 dan mengorbankan 36,000 mangsa bukan baharu, tetapi fakta dan maklumat yang diketengahkan mungkin baharu, setidak-tidaknya bagi generasi muda yang tidak tahu tragedi itu. 


e. Berdekatan. Dekat diukur dari segi kedekatan fizikal dan boleh juga daripada segi kedekatan psikologi. Kejadian yang berlaku di Republik Rakyat China, walaupun jauh beribu-ribu kilometer, tetapi sesetengah rakyat Malaysia, ianya dekat dengan diri mereka. Sesuatu peristiwa ianya dianggap penting dan menarik selagi ianya berkaitan dengan apa-apa yang difikirkan, dirasakan, diingati walaupun ianya begitu jauh.  

 


Cabaran Penulisan Rencana Pendek 


Cabaran utama penulisan rencana pendek adalah ruang terhad walhal isu, fakta utama dan sokongan banyak diperolehi. Cara mengatasinya menggunakan ayat pendek, tepat, utamakan fakta utama serta utamakan isu yang dijangkakan menarik lebih ramai pembaca. 


Turut sertakan lampiran yang disediakan oleh Urus setia Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta, Bahagian Pengembangan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka. 



 

SUMBER RUJUKAN

Urus setia Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor SwastaBahagian Pengembangan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka. Sumber ini digunakan oleh wartawan akhbar Berita Harian dan Harian Metro (NSTP Group) sebagai panduan asas menulis berita.

 

1. Penggunaan perkataan berikut tidak dibenarkan dalam penulisan berita iaitu tersebut, para, merupakan, libat (penglibatan, melibatkan).

2. Penggunaan perkataan peranan, di bawah, tentang dan semasa hanya digunakan mengikut erti sebenarnya:

 

PERANAN hanya digunakan jika ia membawa pengertian watakContoh: Kalsom memegang peranan ibu tiri dalam filem Buruk Perangai. 

Jika perkataan ‘peranan’ itu membawa pengertian usahatugassumbangan atau tanggungjawab, peranan tidak digunakan. Sebagai contoh: Ahli UMNO harus memainkan peranan untuk menyatukan orang Melayu. Ayat boleh ditulis begini:

Ahli UMNO harus berusaha menyatukan orang Melayu.

Guru diingatkan supaya tidak melupakan peranan mereka membimbing murid. Ayat boleh ditulis begini: Guru diingatkan tidak melupakan tugas (tanggungjawab, usaha) mereka membimbing murid.


 

DI BAWAH hanya digunakan mengikut pengertiannyaiaitu di bawah meja, di bawah umur, di bawah pokok, dibawah pimpinan. Contoh: Pencuri itu bersembunyi di bawah meja. Dia berlindung di bawah pokok. Perkataan 'di bawah' tidak boleh digunakan dalam ayat-ayat berikut:


a. Abu ditahan di bawah Akta Perlindungan HaiwanSepatutnya: Abu ditahan mengikut Akta Perlindungan Haiwan. 

b. Projek itu dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia KeenamSepatutnya: Projek itu dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Keenam. 

 

SEMASA hanya digunakan jika ia membawa makna sedang berlaku (current). ContohKeadaan semasa, perkembangan semasa, hal ehwal semasa dan isu semasa.

 

Dalam ayat berikutsemasa tidak boleh digunakan. 

Kemalangan itu berlaku semasa dia melintas jalan. 

Sepatutnya: Kemalangan itu berlaku ketika (sewaktu) dia melintas jalan. 

 

TENTANG hanya digunakan untuk maksud lawan. Oleh itu, ia tidak boleh digunakan dalam ayat berikut: 

 

Beliau memberi penjelasan tentang tindakannya mengusir setinggan. 

Sepatutnya: Beliau memberi penjelasan mengenai tindakannya mengusir setinggan. (Jika hendak memendekkan ayat lebih tepat ditulis; Beliau menjelaskan tindakannya mengusir setinggan.) 

 

MEMBERITAHU DAN MENURUT 

 

Contoh: Perdana Menteri memberitahu, kerajaan akan memantau keadaan di Jalan Klang Lama. 

Ayat ini salah kerana penggunaan memberitahu mesti disusuli dengan siapa yang hendak diberitahu. 

 

Contoh: Perdana Menteri memberitahu pemberita, kerajaan akan memantau keadaan di Jalan Klang Lama. Lebih elok jika memberitahu diganti dengan berkata. 

Contoh: Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memantau…. 

 

Contoh: Menurut Perdana Menteri, ekonomi negara tetap kukuh. Penggunaan menurut dalam ayat ini tidak tepat kerana ada unsur keraguan. Lebih elok ditulis; Perdana Menteri berkata, ekonomi negara tetap kukuh. 

 

Contoh: Menurut seorang penduduk, harimau itu memanjat pokok setinggi lima meter. Tidak salah menggunakan menurut dalam ayat ini kerana kenyataan itu agak meragukan tetapi dilaporkan juga. 

 

KESILAPAN LAZIM 

 

Salah: Pemandu van itu ditahan kira-kira jam 2 petang kelmarin selepas penduduk kampung melaporkan kejadian itu kepada polis. Manakala penunggang motosikal itu pula ditahan ketika cuba mendapatkan rawatan di hospital. 

 

Betul:  Pemandu van itu ditahan kira-kira jam 2 petang kelmarin selepas penduduk kampung melaporkan kejadian itu kepada polis, manakala penunggang motosikal itu ditahan ketika cuba mendapatkan rawatan di hospital. 

 

Betul:  Pemandu van itu ditahan kira-kira jam 2 petang kelmarin selepas penduduk kampung melaporkan kejadian itu kepada polis. Penunggang motosikal itu pula ditahan ketika cuba mendapatkan rawatan di hospital. 

 

(Nota: Manakala hanya digunakan sebagai penyambung ayat.) 

 

Salah: Kesemua ahli jawatankuasa disiplin Umno sudah berkhidmat lebih 40 tahun. 

Betul:  Semua ahli jawatankuasa disiplin Umno sudah berkhidmat lebih 40 tahun. 

 

Lewah: Selain itu, beliau juga mengumumkan pelantikan…. 

(Lewah bermaksud berlebih-lebih sehingga tertambah perkara, hal, dan sebagainya yang tidak perlu.) 

Betul: Selain itu, beliau mengumumkan pelantikan…. 

Betul: Beliau juga mengumumkan pelantikan…. 

Betul: Beliau turut mengumumkan pelantikan…. 

 

Lewah: Selain daripada itu, beliau tidak… 

Betul: Selain itu, beliau tidak… 

 

Lewah: Sehubungan dengan itu, kerajaan… 

Betul:  Sehubungan itu, kerajaan… 

 

Lewah: Polis kini sedang menyiasat pembunuhan itu. 

Betul:  Polis sedang menyiasat pembunuhan itu. 

 

Lewah: Kerajaan kini sudah melaksanakan… 

Betul:  Kerajaan sudah melaksanakan… 

 

Lewah: Beliau ditembak ketika sedang bersiar-siar… 

Betul:  Beliau ditembak ketika (sewaktu) bersiar-siar… 

 

Salah:  Orang ramai, terutamanya kanak-kanak, dinasihatkan tidak memakai… 

Betul:  Orang ramai, terutama kanak-kanak, dinasihatkan tidak memakai… 

 

Salah: Kes itu kemudiannya dipindahkan ke mahkamah… 

Betul: Kes itu kemudian dipindahkan ke mahkamah… 

(Nota: nya adalah ganti nama) 

 

Lewah: Lelaki itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan perut… 

Betul:  Lelaki itu cedera parah di kepala dan perut… 

 

Lewah: Syarikat itu mengalami kerugian berjuta-juta ringgit. 

Betul: Syarikat itu rugi berjuta-juta ringgit. 

 

Lewah:  Kejadian itu menyebabkan muka Murad mengalami kesan parut. 

Betul: Kejadian itu menyebabkan muka Murad berparut. 

 

Lewah: Kereta itu mengalami kerosakan teruk… 

Betul: Kereta itu rosak teruk… 

 

Salah: Biarpun beliau sudah tua, tetapi masih kuat… 

Betul: Beliau sudah tua, tetapi masih kuat… 

 

Lewah: Kerajaan bercadang (merancang, berjanji) untuk menjadikan mata pelajaran… 

Betul: Kerajaan bercadang (merancang, berjanji) menjadikan mata pelajaran… 

 

Lewah: Langkah itu bertujuan untuk menghapuskan… 

Tepat: Langkah itu bertujuan menghapuskan… 

 

Salah: Persatuan Polo Ijok dijangka akan menjual semua kuda… 

Betul: Persatuan Polo Ijok akan menjual semua kuda… (jika pasti) 

Betul: Persatuan Polo Ijok dijangka menjual semua kuda…(jika cadangan) 

 

Salah: Persatuan Polo Ijok mungkin akan menjual semua kuda… 

Betul: Persatuan Polo Ijok akan menjual semua kuda…(jika pasti) 

Betul: Persatuan Polo Ijok mungkin menjual semua kuda…(jika cadangan) 

 

Lewah: Golongan ibu bapa (petani, guru, penternak) di daerah ini dinasihatkan tidak membenarkan… 

Betul: Ibu bapa (petani, guru, penternak) di daerah ini dinasihatkan tidak membenarkan. 

 

(Nota: Golongan bagaimanapun boleh digunakan untuk sesuatu kumpulan seperti golongan pertengahan, golongan dewasa, golongan miskin.) 

 

Salah:  Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 11.32… 

Betul:  Kemalangan itu berlaku jam 11.32… 

Betul:  Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 11.30 pagi… 

 

Lewah: Hanya Ali saja dibenarkan masuk… 

Betul : Hanya Ali dibenarkan masuk… 

Betul : Ali saja dibenarkan masuk… 

 

Salah: Antara yang hadir termasuk Abu, Ali… 

Betul: Antara yang hadir ialah Abu, Ali… 

Turut hadir ialah… 

 

Salah:  … selepas mendapat perintah reman, dua lelaki terbabit dibawa… 

Betul: … selepas mendapat perintah reman, dua lelaki itu dibawa… 

(Nota: Penggunaan perkataan terbabit atau berkenaan dalam ayat ini tidak tepat kerana membawa maksud berkaitan sesuatu.) 

 

Salah: Beliau merasa bersalah… 

Betul: Beliau berasa bersalah… 

 

Salah: Ramai yang merasai keadaan itu… 

Betul: Ramai yang berasa keadaan itu… 

 

(Nota: Merasa digunakan untuk makanan. Contoh: Beliau merasa makanan itu pedas.) 

 

CADANGAN : 

Walaupun DBP membolehkan penggunaan sahaja atau saja. Berita Harian dicadangkan menggunakan saja. 

 

Penggunaan perkataan berjaya. 

 

Lewah:  Polis berjaya menahan seorang lelaki yang cuba… 

Tepat :  Polis menahan seorang lelaki yang cuba… 

 

 

TANDA BACA 

 

Salah:  Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau…. 

Betul:  Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, berkata beliau… 

 

Salah:  Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, berkata beliau… 

Betul:  Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau… 

 

 

DALAM KURUNGAN 

 

“Saya akan mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membaiki jalan itu,” kata Ghani. 

Tidak wajar ada kurungan begini dalam petikan kata-kata. Jika perlu menggunakan kurungan, tulis ayat secara indirect quote. 

Bagaimanapun dalam keadaan tertentu, kurungan boleh digunakan sebagai penjelasan. 

Contoh: “Saya tidak mahu Aziz (Bakar) memburukkan orang Melayu,” katanya. 

 

Salah:  Pemenang hadiah pertama akan menerima RM300, kedua (RM200) dan ketiga (RM100). 

Betul:  Pemenang hadiah pertama akan menerima RM300, kedua200 dan ketiga RM100. 

 

 

MASALAH PENGGUNAAN KATA JAMAK. 

 

Salah:  Sepuluh cawangan-cawangan 

Betul:  Sepuluh cawangan 

 

KESALAHAN PENGGUNAAN KATA JAMAK YANG BERBENTUK KATA BILANGAN TAK TENTU 

 

Salah:  Semua maklumat-maklumat 

Betul:  Semua maklumat 

 

Salah:  Berbagai kesalahan 

Betul:  Berbagai-bagai kesalahan atau pelbagai kesalahan 

 

Salah: Segala persiapan-persiapan 

Betul:  Segala persiapan 

 

Salah: Seluruh kawasan-kawasan 

Betul: Seluruh kawasan 

 

Salah: Banyak orang-orang 

Betul: Banyak orang 

 

 

KESALAHAN PENGGUNAAN KATA JAMAK YANG BERBENTUK KATA BILANGAN PISAHAN 

 

Salah: Tiap-tiap borang-borang 

Betul: Tiap-tiap borang 

 

Salah: masing-masing ajen-ajen 

Betul: masing-masing ajen 

 

Salah: setiap negeri-negeri 

Betul: setiap negeri 

 

Kesalahan penggunaan kata jamak (lebih daripada satu, banyak). 

yang berbentuk kata bilangan himpunan. 

 

Salah: kedua pengurus 

Betul: kedua-dua pengurus 

 

Salah: ketiga buah negara 

Betul: ketiga-tiga buah negara 

 

Salah: berabad lamanya, bertahun lamanya 

Betul: berabad-abad lamanya, bertahun-tahun lamanya 

 

Kesalahan penggunaan kata yang sudah mendukung pengertian jamak 

 

Salah: Persatuan Syarikat-syarikat Insurans 

Betul: Persatuan Syarikat insurans 

 

Salah: Mereka-mereka 

Betul: Mereka 

 

Salah: Kalangan tokoh-tokoh 

Betul: Kalangan tokoh 

 

Salah: Barisan pemimpin-pemimpin 

Betul: Barisan pemimpin 

 

Salah: Deretan kedai-kedai 

Betul: Deretan kedai 

 

Salah: Jemaah menteri-menteri 

Betul: Jemaah menteri 

 

Salah: Rangkaian lagu-lagu 

Betul: Rangkaian lagu 

 

Salah: Senarai nama-nama 

Betul: Senarai nama 

 

Kesalahan penggunaan kata yang terdiri daripada gabungan dua atau lebih perkataan untuk menunjukkan maksud jamak (lebih daripada satu, banyak). 

 

Salah: borang insurans-borang insurans 

Betul: borang-borang insurans 

 

Salah: kertas kerja-kertas kerja 

Betul: kertas-kertas kerja 

 

Salah: Ketua Eksekutif-ketua Eksekutif 

Betul: Ketua-ketua Eksekutif 

 

Kesalahan penggunaan kata sendiri nama antara yang berfungsi sebagai kata arah dengan frasa sendi di antara yang menunjukkan kedudukan fizikal atau arah. 

 

Salah: … persaingan di antara Berita Harian dengan Utusan Malaysia semakin… 

Betul: … persaingan antara Berita Harian dengan Utusan Malaysia semakin… 

 

Salah: …di antara sektor awam dengan sektor swasta. 

Betul: …antara sektor awam dengan sektor swasta. 

 

Salah: Ramai di antara mereka… 

Betul: Ramai antara mereka… 

 

Kesalahan penggunaan kata sendi di yang menjadi kata arah untuk menunjukkan tempat dan kata sendi pada untuk masa. 

 

Salah: Betul: 

 

di masa ini pada masa ini 

di setiap musim pada setiap musim 

di satu pagi pada satu pagi 

di zaman ini pada zaman ini  

di hari raya pada hari raya 

di peringkat pada peringkat 

di tahap pada tahap 

di waktu pada waktu 

di majlis pada majlis 

 

Kesalahan penggunaan kata sendi ke yang sepatutnya digunakan untuk tempat, benda dan masa, dan kata sendi kepada yang sepatutnya digunakan untuk benda bernyawa dan benda abstrak. 

 

Salah: diserah ke pengurus 

Betul: diserahkan kepad pengurus 

 

Salah: hingga kepada hari ini 

Betul: hingga ke hari ini 

 

Salah: sampai kepada penghujungnya 

Betul: sampai ke penghujungnya 

 

Kesalahan penggunaan kata sendi di yang sepatutnya diletakkan pada kata sendi dalam dan frasa sendi di dalam pada kata sendi dalam. 

 

Salah:  di bidang insurans 

Betul:  dalam bidang insurans 

 

Salah: di masyarakat majmuk 

Betul: dalam masyarakat majmuk 

 

Salah: bergembira di suasana hari raya 

Betul: bergembira dalam suasana hari raya 

 

Salah: masalah di dalam penggunaan istilah 

Betul: masalah dalam penggunaan istilah 

 

Penggunaan frasa sendi di dalam yang betul adalah seperti dalam frasa-frasa berikut: 

  • Berkumpul di dalam dewan 

  • Disimpan di dalam fail 

  • Ada di dalam kotak 

  • Sesat di dalam hutan 

 

Kesalahan penggunaan kata sendi dari yang sepatutnya digunakan untuk tempat dan waktu, dan kata sendi daripada yang sepatutnya digunakan untuk hal-hal yang lebih umum. 

 

Salah: Encik datang daripada mana? 

Betul: Encik datang dari mana? 

 

Salah: Peti itu dari kayu 

Betul: Peti itu daripada kayu 

 

Salah: daripada saat ini 

Betul: dari saat ini 

Salah: Ini kiriman dari ayah 

Betul: Ini kiriman daripada ayah 

 

Salah: Beliau lebih bijak dari saya 

Betul: Beliau lebih bijak daripada saya 

 

Kekeliruan dalam penggunaan antara kata sendi nama antara dengan frasa sendi di antara yang menjadi gabungan antara kata sendi nama di dengan kata arah antara. 

 

 

 

Salah: Inilah di antara hal yang mesti difahami. 

Betul: Inilah antara hal yang mesti difahami. 

 

Salah: Ramai di antara mereka 

Betul: Ramai antara mereka 

 

Salah: …di antara persoalan penting… 

Betul: …antara persoalan penting… 

 

Salah: …rusuhan di antara pelajar… 

Betul: …rusuhan antara pelajar… 

 

Frasa sendi di antara hanya digunakan untuk menunjukkan kedudukan fizikal atau arah. 

 

Contoh: Lif itu terhenti di antara tingkat tiga dengan tingkat empat. 

 

Masalah Penggunaan Kata Ganti 

 

Kesalahan penggunaan kata ganti diri ketiga beliau yang disamatarafkan dengan kata ganti diri ketika ia, dan, dia. 

 

Salah: Beliau dituduh melakukan kesalahan itu pada… 

Betul: Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada… 

 

Kita menggunakan baginda sebagai rujukan kedua untuk Sultan dan Raja-Raja Melayu dan Baginda (B cap) untuk Nabi Muhammad saw. (Raja bertitah, menteri berkata). 

 

Kesalahan penggunaan kata ganti diri ketiga ianya untuk menggantikan it bagi maksud ia untuk benda dan binatang. 

 

Salah: Ianya telah dikenal pasti 

Betul: Ia telah dikenal pasti 

 

Salah: Ianya hendaklah disiapkan… 

Betul: Ia hendaklah disiapkan… 

 

Kesalahan penggunaan kata ganti nama diri orang ia yang digunakan untuk maksud benda atau perkara yang dirujuk. Kata ganti diri yang sepatutnya digunakan ialah ini atau itu. 

 

Salah: Kalau ia berlaku… 

Betul: Kalau (perkara) ini berlaku… 

 

Kesalahan penggunaan kata ialah yang sepatutnya diikuti oleh kata nama atau frasa nama. 

 

Salah: Beliau ialah orang yang pertama… 

Betul: Beliau ialah orang yang pertama… 

 

Salah: Perkara ini adalah satu masalah… 

Betul: Perkara ini ialah satu masalah… 

 

Kesalahan penggunaan kata adalah yang sepatutnya diikuti oleh kata sendi. 

 

Salah: Kursus ini ialah untuk menerangkan… 

Betul: Kursus ini adalah untuk menerangkan… 

 

Salah: Tarikh surat itu ialah pada 15 Mei 1998 

Betul: Tarikh surat itu adalah pada 15 Mei 1998 

 

Salah: Kenyataan itu ialah benar. 

Betul: Kenyataan itu adalah benar. 

Lebih tepat: Kenyataan itu benar. 

 

Penggunaan kata penguat yang digunakan secara berlebihan. 

 

Salah: Samad pekerja yang amat rajin sangat. 

Sepatutnya: Samad pekerja yang amat rajin. ATAU, Samad pekerja yang sangat rajin. 

 

Salah: Jalan itu amat sesak sangat. 

Sepatutnya: Jalan itu amat sesak. ATAU, Jalan itu sesak sangat. 

 

Masalah penggunaan artikel a, dan an yang diterjemahkan sebagai satu, atau, se, iaitu seorang, sebuah dan seumpamanya di dalam ayat bahasa Melayu. 

 

 

Salah Betul 

 

Saya ialah seorang pengurus  Saya pengurus 

Ini ialah sebuah buku Ini buku 

Ayah saya seorang polis Ayah saya polis 

 

Penggunaan ialah dan adalah bukan unsur yang mesti ada dalam ayat bahasa Melayu. Unsur ini adalah hasil terjemahan is dan are dalam bahasa Inggeris. 

 

Contoh: 

  • Beliau (ialah) pengarah syarikat. 

  • Kemudahan ini (adalah) tertakluk… 

  • Anda (adalah) berhak… 

  • Anda (adalah) layak… 

 

Pengabaian penggunaan imbuhan 

 

Kesalahan kerana tidak menggunakan awalan me… pada kata-kata yang sepatutnya menerima imbuhan itu. 

 

Salah: Syarikat ambil tindakan… 

Betul: Syarikat mengambil tindakan… 

 

Salah: Saleh baca buku. 

Betul: Saleh membaca buku. 

 

Salah: Sohod kirimkan surat itu. 

Betul: Sohod mengirimkan surat itu. 

 

Kesalahan kerana tidak menggunakan akhiran …kan pada kata-kata yang sepatutnya menerima imbuhan itu. 

 

Contoh: 

 

Salah: …memberi satu minggu notis. 

Betul: …memberikan satu minggu notis. 

 

Salah: …mengehad peruntukan tahun ini. 

Betul: …mengehad peruntukan tahun ini. 

 

Salah: …dikehendaki memberi satu minggu notis. 

Betul: …dikehendaki memberikan satu minggu notis. 

 

Kesalahan kerana pengabaian akhiran …kan bagi perkataan yang belum sempurna bentuknya. 

 

Salah:  meluas dan meningkatkan… 

Betul: meluaskan dan meningkatkan… 

 

Salah: …memaju dan meningkatkan… 

Betul: …memajukan dan meningkatkan… 

 

Kesalahan menggunakan akhiran …kan, dan, …i untuk membentuk kata kerja transitif yang berbeza fungsinya. 

 

Salah: …menghadiahkan saya sebulan bonus. 

Betul: …menghadiahi saya sebulan bonus. 

           …menghadiahkan sebulan bonus kepada saya. 

 

Salah: …mengirimkan ayah surat. 

Betul: …mengirimi ayah surat. 

           …mengirimkan surat kepada ayah. 

 

Salah: …mencucurkannya rahmat. 

Betul: …mencucurinya rahmat. 

           …mencucurkan rahmat kepadanya. 

 

 

Kesalahan menggunakan apitan memper…i yang sebenarnya bentuk terbitan yang lewah. Apitan memper…i hanya digunakan bagi keperluan menyatakan makna khusus bagi sesuatu perbuatan kata kerja. 

 

Salah Betul 

 

memperoleh memperoleh 

memperkuasai menguasai 

memperhalusi menghalusi 

 

Kesalahan keliru mengenai unsur yang perlu digandakan bagi kata majmuk yang dieja terpisah. 

 

Salah: …alat tulis-alat tulis… 

Betul: …alat-alat tulis… 

 

Salah: …Ketua Menteri-Ketua Menteri 

Betul: …Ketua-ketua Menteri 

 

Salah: …suku kata-suku kata… 

Betul: …suku-suku kata… 

 

Salah: …kapal terbang-kapal terbang… 

Betul: …kapal-kapal terbang… 

 

 

Kesalahan kerana keliru mengenai penggunaan kata majmuk yang tercantum kedua-dua unsurnya. 

 

Salah: …pesuruh-pesuruhjaya 

Betul: …pesuruhjaya-pesuruhjaya… 

 

Salah: …tanda-tandatangan… 

Betul: …tandatangan-tandatangan… 

 

Salah: …warga-warganegara… 

Betul: …warganegara-warganegara… 

 

Aspek kata ganda yang sering menimbulkan masalah dalam penulisan ialah penggandaan separa yang menerima imbuhan dan ditandakan perkataan ‘saling’. 

 

Salah: …saling kasih-mengasihi… 

Betul: …saling mengasihi… 

           …kasih-mengasihi… 

 

 

 

Salah:  …saling kejar-mengejar… 

Betul:  …kejar-mengejar 

           …saling mengejar… 

 

Salah: …saling tolong-menolong… 

Betul: …saling menolong… 

 

 

SINGKATAN nama jabatan/agensi 

 

Mana-mana singkatan yang boleh disebut dengan bunyi yang munasabah, hendaklah dieja dengan huruf kecil (kecuali huruf awal). Ini bermakna Umno, Pas, Felcra, Cuepacs, dieja dengan huruf kecil. 

 

Berdasarkan prinsip boleh disebut, makan DAP, PKEN, JKR, PKINK, PMINT dieja dengan huruf besar. 

 

Nota: Jangan mencipta singkatan bagi sesuatu persatuan, perbadanan atau jabatan kerajaan sesuka hati. Sebagai contoh, Jabatan Pertanian Negeri atau Jabatan Perikanan Negeri diberi singkatan JPN, sedangkan JPN hanya digunakan untuk Jabatan Pendaftaran Negara. 

 

Juga jangan memberi singkatan sesuka hati, sebagai contoh KPKT untuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan KSM untuk Kementerian Sumber Manusia. 

 

Nota: Penyunting diingatkan tidak menggunakan singkatan yang tidak dikenali umum di dalam tajuk berita. 

 

 

ITALIC 

 

Semua nama filem, drama, buku, lagu, kapal (KD Kerambit), dan kertas kerja ditulis dalam bentuk Italic, tanpa meletakkan inverted comma. Jenama seperti Proton Mercedes, dan Fab tidak perlu ditulis dalam bentuk italic. 



Artikel ini dikemaskini pada 28.12.2020: jam 10.00am)
Penulis tidak bertanggungjawab terhadap pandangan melalui artikel ini dan ianya adalah pandangan peribadi daripada pemberi sesuatu pandangan.

 

Ulasan

Covid-19: Semoga virus Covid-19 segera ditemui vaksin penyembuhnya kerana dunia semakin sengsara

COVID-19: India cemas, jangkitan hampiri 70k sehari.

COVID-19: Gelombang baharu, Malaysia harus menang.

COVID-19: Gelombang baharu, Selangor atasi Kedah

COVID-19: Ancaman baru, bermutasi dan semakin kebal.

COVID-19: Rabu (12.8.2020), viral pelajar dijangkiti sedang disiasat.

COVID-19: 11 kes baru, 5 kes libatkan pelajar sekolah rendah.

COVID-19: Penularannya, Malaysia pernah hampir menang.

COVID-19: ASEAN, 2 negara kritikal, 2 negara kematian sifar.

COVID-19: Data rasmi, Indonesia, jangkitan lepasi 100,000.