ASAS PENULISAN: BAB 8 DAN PENUTUP
BAB 8
PENGHASILAN MANUSKRIP
8.1 PENGENALAN MANUSKRIP
Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan manuskrip? Mungkinkah perkataan itu tidak penting kerana perbincangan mengenainya hanya dimulakan pada bab ini. Setiap bab di buku ini, pengarang beranggapan ia penting untuk kefahaman pembaca. Membezakannya hanya susunan bab diambil kira bagi memudahkan kefahaman pembaca.
Membicarakan mengenai bab ini, secara umumnya manuskrip adalah hasil kerja seseorang pengarang. Manuskrip juga adalah bahan sesuatu karya yang diusahakan oleh pengarang sama ada untuk simpanan peribadi atau diterbitkan. Dewan Bahasa dan Pustaka (2010) mendefinisikan manuskrip sebagai naskhah tulisan tangan; versi atau bahan (sesuatu karya) yang telah disediakan oleh penulis (editor dan sebagainya) untuk dicetak dan diterbitkan dalam bentuk buku dan lain-lain.
Jika dilihat dari hasil usaha seseorang pengarang, manuskrip lebih penting daripada idea. Kehilangan idea yang bagus mungkin tidak merugikan penulis, tetapi kehilangan satu manuskrip boleh menyebabkan dirinya kerugian besar dari segi masa dan juga boleh meruntuhkan semangatnya untuk terus berkarya.
8.2 KARYA YANG BERMUTU
Bagi menghasilkan manuskrip yang bermutu, seseorang pengarang seharusnya menggunakan pengalaman yang ada pada dirinya serta suasana sekeliling. Kurang bermutu sesuatu karya adalah disebabkan oleh ilmu pengetahuan atau pengalaman mengenai bidang yang ditulis.
Seseorang pengarang tidak perlu merasa malu mendedahkan kehidupannya jika dia seorang anak penoreh getah, juga tidak perlu malu jika dilahirkan sebagai anak yang menghadapi kehancuran rumah tangga. Daripada kesusahan yang dialami itu boleh dimanafaatkan untuk menjadikan seseorang pengarang muda atau yang baru menceburi bidang penulisan berjaya dalam bidang yang diceburi itu.
Menurut Zamri Mohamad (2009) kekurangan adalah bonus kepada seseorang menjadi pengarang yang berjaya. Kekurangan diri adalah ciri-ciri yang sering dihadapi oleh sejarawan, pencipta dan tokoh pengubah dunia. Diiringi dengan semangat yang kental dan jitu, kekurangan itu diadun bagi menghasilkan kejayaan yang diidam-idamkan.
Selain itu, menghasilkan sebuah manuskrip yang bermutu tidak memerlukan modal yang besar sebaliknya ia memberikan hasil pulangan yang lumayan. Pengalaman lalu penulis, penghasilan sesebuah karya kreatif seperti cerpen hanya bermodalkan kira-kira RM3 (termasuk semua kos) dan honorium atau bayaran yang diterima selepas beberapa bulan karya itu diterbitkan adalah sebanyak RM30 (siaran radio) hingga RM100 (terbitan majalah atau akhbar). Bagi manuskrip novel pula bermodalkan kira-kira RM50 (termasuk semua kos). Sebaik diterbitkan bayaran pendahuluan honorium RM750. Juga, penulis berupaya mendapat sehingga RM10,000 (bergantung jumlah cetakan dan jualan). Bayaran yang diterima itu amat memuaskan tetapi mengapa masih ramai tidak boleh melakukannya, mengapa? Persoalan ini harus difikirkan bersama.
Seterusnya penguasaan terhadap tatabahasa dan istilah berhubung topik yang ditulis juga haruslah dikuasai dengan baik. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (2010) tatabahasa didefinisikan sebagai pengetahuan atau pengetahuan tentang pembentukan perkataan dan proses pembinaan ayat (penyusunan kata dalam ayat) atau nahu. Sementara itu, istilah pula didefinisikan sebagai perkataan atau rangkai kata yang menyatakan sesuatu dengan betul, tepat dan sesuai dalam sesuatu bidang ilmu pengetahuan (pekerjaan atau kesenian).
Perlu diambil perhatian setiap karya perlu dihayati oleh penulis melalui penghayatan, pengamatan atau imaginasi yang berkesan bagi menjamin kualitinya. Penghayatan memerlukan pengalaman luas penulis. Setiap penulis mempunyai pengalaman berbeza seperti pengalaman untuk berjaya dalam pelajaran atau mengejar impian dalam kehidupan. Pengalaman itu boleh dijadikan sebagai sebahagian daripada tambahan dalam penghasilan penulisan yang dihasilkan. Bagaimanapun, penulisan sesuatu karya haruslah tidak mengambil kesempatan untuk membalas dendam melalui ketajaman mata pena kerana ia berupaya memberi kesan buruk hingga dikenakan tindakan undang-undang.
Sementara itu, manuskrip yang dihasilkan perlulah baik dari segi penulisannya. Penulisan yang baik adalah yang mudah dibaca dan mudah difahami; ejaan dan penggunaan tanda bacaan yang betul; susunan jalan ceritanya logik; penulisannya padat dan tepat; tiada pengulangan perkataan dalam satu ayat; tiada penggunaan perkataan yang tidak penting; manuskrip berkenaan juga perlulah dibalut atau berkulit bagi membolehkannya disimpan bagi tempoh lama.
Bagi pengarang yang dilahirkan sebagai seorang yang miskin serta tidak mampu memiliki sebuah komputer, menulis di atas kertas boleh dilakukan. Apabila tiba masanya manuskrip itu boleh ditaip di dalam komputer dan diedit sebelum disimpan sebagai koleksi peribadi atau dihantar kepada penerbit untuk diterbit.
Sementara itu, Faizal Tehrani (2008) menyatakan bahawa tiga entiti (sesuatu yang mempunyai kewujudannya yang tersendiri) dalam dunia penulisan ialah pengarang, karya dan pembaca. Sering berlaku pengarang mengabaikan dirinya sebagai pengarang.
“Formula untuk menghasilkan sebuah karya yang baik dan berjaya haruslah datang dari seorang penulis yang baik dan faham serba-serbi.”
Faizal turut memperingatkan tiga perkara yang harus diberi perhatian oleh bakal pengarang:
a. Kekuatan peribadi. Hal ini dinyatakan perkara utama keupayaan menghasilkan karya yang baik. Penulis beragama Islam seharusnya menganggap bidang penulisan adalah ibadah iaitu perbuatan dan amalan yang dilakukan kerana Allah SWT.
Seterusnya, Faizal menyatakan bahawa:
“Tugas pengarang yang paling penting dalam karya seninya ialah memanusiakan kembali manusia. Dalam al-Quran dijelaskan bahawa manusia dapat terjerumus jatuh ke tempat atau jurang paling rendah `asfala safilin’. Tugas untuk mengangkat kembali darjat manusia dari kerendahan yang keji itu boleh dikerjakan melalui agama, moral dan falsafah. Kita berupaya memartabatkan kembali manusia melalui kerja sastera dengan tujuan dan harapan supaya manusia dapat diangkat kembali ke fitrahnya sebagai makhluk yang sebaik-baiknya, semulia-mulianya dan bermartabat manusia.”
b. Perkasakan ilmu pengetahuan. Salah sangka bahawa dunia penulisan sungguh glamour serta penuh bergaya akan menyebab impian bakal pengarang tersekat sebelum menjadi pengarang. Kesannya, menimbulkan perasaan putus asa dan menuduh dunia penulisan tidak menawarkan apa-apa ganjaran.
Bagi mengelak perkara ini berlaku mereka yang berminat menjadi pengarang harus mengutamakan ilmu pengetahuan yang diperolehi melalui pembacaan dalam pelbagai jenis ilmu.
Menghayati falsafah yang merupakan satu daripada cabang ilmu yang penting juga diyakini mampu membantu bakal pengarang memperkasakan agama dan budaya yang dianutinya.
Selain itu, Faizal menyatakan bahawa penghayatan terhadap sastera klasik dan ilmu agama juga harus diutamakan. Kedua-duanya adalah ilmu tambahan yang diperlukan bagi memantapkan penulisan yang idhasilkan.
c. Bidang kepengarangan amanah Allah SWT. Pengarang mempunyai amanah serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Antaranya menyumbang kepada negara, bangsa dan agama. Oleh demikian, karya-karya yang dihasilkan haruslah mendorong ke arah yang dinyatakan itu.
Pendeta Za’ba (1934) yang merupakan tokoh bahasa dan pemikir Melayu menyatakan bahawa untuk menjadi seorang pengarang, beberapa langkah awal haruslah dilakukan:
1. Berfikir dahulu sebelum menulis.
2. Tuliskan peringatan dengan segera menulisnya serta menyusun yang diingati itu dalam bentuk rangka.
3. Rancangkan kepanjangan huraian isi (fakta) yang hendak ditulis dan huraiannya harus sesuai dengan topik perbincangan.
4. Baca semula penulisan yang dihasilkan serta perbaiki kesilapan-kesilapan yang ditemui.
Selain itu, Za’ba menyatakan bahawa untuk menjadi pengarang yang baik langkah-langkah berikut harus dilakukan:
1. Banyakkan membaca karangan atau bacaan yang bermutu.
2. Banyakkan memerhati percakapan orang yang cerdik pandai.
3. Banyakkan mencontohi karangan yang bermutu serta mencontohi cara karangannya.
4. Banyakkan latihan mengarang dengan mengikut gaya sendiri.
5. Selalulah perhatikan hal ehwal serta memikir dan berfikir dengan teratur.
Akhirnya, Za’ba menyatakan bahawa membentuk diri sebagai pengarang yang baik memerlukan pembacaan yang banyak, melatih diri mengarang dengan baik, mengarang dengan mengikut gaya sendiri, berfikir sendiri dan mencuba mengeluarkan fikiran-fikiran dengan perkataan yang teratur sama ada dalam bentuk percakapan atau karangan.
8.3 LANGKAH-LANGKAH AWAL MENULIS
Menulis sebaris ayat bagi memulakan sesuatu penulisan amatlah sukar bagi kebanyakan pengarang yang baru menceburi bidang penulisan. Faktor ini antara sebab mengapa seseorang gagal menjadi pengarang. Pengarang mencadangkan idea yang tercetus ditulis di atas sekeping kertas, diserahkan kepada rakan yang paling hampir dan meminta komen mengenai idea yang dicetuskan sebelum meneruskan usaha menghasilkan manuskrip cerpen, novelet, novel atau lain-lain penulisan.
Penulis tidak perlu merasa malu jika karyanya dibaca oleh kenalan kerana setiap karya matlamat terakhirnya adalah untuk dipasarkan serta akan dibaca oleh beribu-ribu orang dalam tempoh yang lama. Setiap karya yang terhasil pula boleh bertahan sekurang-kurangnya dua hingga lima tahun di pasaran. Malah hak cipta karya kreatif itu pula akan bertahan sepanjang hayatnya dan diwarisi oleh warisnya bagi tempoh 50 tahun lagi.
BAB 9
PENUTUP
Sejarah kebudayaan dan tamadun manusia membuktikan bahawa industri perbukuan mempunyai hubungan dengan tamadun sesuatu masyarakat. Bagaimanapun, menghasilkan sesuatu penulisan memerlukan pengorbanan yang berterusan. Pengorbanan yang dilakukan itu pula pasti akan terasa kemanisannya apabila melihat karya yang bermula dari satu idea yang dipengaruhi oleh ilham, pembentukan ilham dan sebagainya kini menjadi satu bentuk manuskrip. Seterusnya, menjadi satu bentuk buku yang dicetak dan dibaca oleh beribu-ribu pembaca atau mungkin lebih daripada itu. Kepuasan yang tidak mungkin dapat dibeli dengan wang ringgit.
Sebelum kemanisan yang tidak terhingga itu diperolehi, seseorang pengarang atau penulis harus mengutamakan ilmu berkaitan bidang yang diceburi. Ini kerana, pengembangan ilmu pengetahuan mempunyai hubungan rapat dengan ilmu penulisan. Jika pengarang kurang berilmu, penulisannya juga kurang berilmu.
Menurut Ibnu Khaldun, modal ilmu yang dimiliki oleh seseorang sarjana adalah terhad. Dan mengakui (kekurangan seseorang itu) akan menyelamatkan dia daripada dikecam. Pandangan yang dikemukakan oleh tokoh sosiologi Islam itu ada kebenarannya kerana ilmu Tuhan terlalu luas dan akal manusia pastinya tidak mungkin akan mampu menampung semua ilmu pengetahuan itu.
Membicarakan mengenai penulisan yang bermutu, pengarang mendapati antara punca selepas dua dekad bergelumang dengan bidang ini masih gagal menghasilkan karya yang bermutu. Mungkin disebabkan oleh faktor kesibukan melaksanakan tugas sebagai wartawan sepanjang tempoh 1999 hingga 2008. Bagaimanapun faktor kurang membaca menjadi halangan utama mengapa perkara itu berlaku. Pengarang akan menggunakan pengalaman dan ilmu berkaitan yang diperolehi dari semasa ke semasa untuk melahirkan karya yang bermutu.
Kembali membicarakan melahirkan pengarang yang baik. Seseorang bakal pengarang atau pengarang harus menguasai ilmu pengetahuan dalam bidang penulisan yang dikarang dan diiringi dengan teknik penulisan serta dibimbing oleh mereka yang berkelayakan. Kaedah itu adalah cara terbaik membantu seseorang menjadi pengarang yang berkaliber. Ilmu berhubung pengembangan idea, kreativiti, penerbitan, undang-undang dan hak cipta perlulah didalami dari semasa ke semasa. Mendalami ilmu-ilmu berkenaan mampu membentuk seseorang pengarang berjaya dalam kerjaya yang diceburi sama ada secara sepenuh masa atau sambilan.
Penulisan yang berkualiti akan bermula dari idea seorang pengarang yang dibentuk oleh suasana sekeliling atau faktor yang mempengaruhi pemikirannya. Pengarang yang baik pula memerlukan pengorbanan melalui usaha bersungguh-sungguh, bersikap jujur, sabar, mematuhi undang-undang berkaitan serta tidak mudah bosan disamping menjaga mutu karya yang dihasilkan. Pengarang mengakhiri penulisan bagi edisi pertama ini dengan harapan ilmu yang sedikit ini dapat dimanafaatkan. Walau sedikit ilmu yang diperolehi, setiap pengarang atau bakal pengarang mempunyai tanggungjawab yang besar dalam penyebaran ilmu pengetahuan. Juga, satu rujukan dan sumber ilmu yang ditemui oleh pengarang umpama sebutir pasir yang ditemui di tepian pantai yang luas sejauh mata memandang. Masih banyak ilmu berkaitan bidang penulisan belum ditemui dan usaha itu akan dilakukan dari semasa ke semasa sedaya mungkin untuk memastikan penulisan yang dihasilkan ini benar-benar membantu kepada bakal atau pengarang yang ingin memantapkan penulisan mereka.
RUJUKAN
A Aziz Deraman. Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia. Cahaya Pantai (M) Sdn Bhd. Kuala Lumpur. 1994.
Abdullah Hussain, Khalid M. Hussain. Pendeta Za’ba dalam kenangan. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 2000.
Al-Quran, Mushaf Malaysia Rasm Uthmani. Terjemahan Sheikh Abdullah Basmeih. Penerbitan Darulfikir. Kuala Lumpur. 2000.
Ainon Mohd dan Abdullah Hassan. Kuasa Berfikir Kreatif: Teknik menyelesaikan masalah secara kreatif. PTS Profesional Publishing Sdn Bhd. 2007.
A Samad Ismail. Memoir A Samad Ismail di Singapura. Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi. 1993.
A Rahim Abdullah. Pemikiran Sasterawan Nusantara: Suatu kejadian perbandingan. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 1995.
Azmi Aziz, Wan Ramli Wan Muhamad. Tokoh Falsafah Dunia. Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd. 2002.
David Berry. Idea-idea Utama Dalam Sosiologi: Suatu Pengenalan (terjemahan). Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 1993.
Ding Choo Ming. Raja Aisyah Sulaiman: Pengarang Ulung Wanita Melayu. Penerbitan Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi. 1999.
Dr Danial Zainal Abidin. Quran Saintifik: Meneroka Kecemerlangan Quran daripada Teropong Sains. PTS Millenia Sdn Bhd. Selangor. 2011.
Dr Mohd Sani Badron. Faham Insan Dalam Proses Ta’dib. Wacana Ta’dib Kakitangan Akademik Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). KUIS, Selangor. 2011.
Dr Wahbah al-Zuhaily. Tafsir Al-Munir Juz ‘Amma. Persatuan Ulama Malaysia dan Intel Multimedia and Publication. Selangor. 2001.
Faizal Tehrani. Karya Nan Indah. Al-Ameen Serve Holdings. Kuala Lumpur. 2008.
Hamedi Mohd Adnan. Memahami Penyuntingan Naskhah. Medium Publication. Bandar Baru Bangi. 2008.
Hamedi Mohd Adnan. Memahami Penerbitan Buku. Medium Publication. Bandar Baru Bangi. 2008.
Hamzah Hussin. Dari Keris Film ke Studio Merdeka. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi. 1997.
H.M. Tuah Iskandar, Mengislamisasikan Komunikasi Warta, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 1997.
Imam Nawawi (Penterjemah: Abu Hikmah al Husni). Cinta dan Rindu kepada Allah. Terbitan Darul Nu’man. Kuala Lumpur. 1999.
Ismail Hussein, A. Aziz Deraman, Abd. Rahman Al-Almadi (penyelenggara). Tamadun Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 1995.
Jeniri Amir, Belajar Menjadi Wartawan, terbitan PTS Professional Publishing Sdn Bhd. Pahang. 2005.
Mohd Sidin Ahmad Ishak. Keterampilan Menulis. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 1999.
Faridah Ibrahim dan Mus Chairil Samani, Etika Kewartawanan, edisi 2, terbitan. A.R.Publishers. 1996.
Ghazali Darusalam. Sumbangan Sarjana dalam Tamadun Islam. Utusan Publications & Distributor Sdn Bhd. 2001.
Kamus Dewan. Edisi Keempat. Dewan Bahasa dan Pustaka. 2010.
Kamsiah Abdullah. Rangkaian Penelitian Bahasa dan Pemikiran. Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Deezed Consult. 2002.
Kementerian Perdagangan dan Perindustrian dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan Malaysia. 1987.
Khaldun. Mukadimah. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 2002.
Mahatma Gandhi. Bahana Kesetiaan Teruji (terjemahan Prof Dr G Soosai). Penerbitan Pustara Antara. 1984.
Mansor Ahmad Saman. Penulisan dan Media. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 1995.
Mansor Ahmad Saman Ahmad Sebi. Peranan Media Dalam Masyarakat Moden, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. 1996.
Mazlan Nordin. Tokoh dan Akhbar Melayu: Penebus Peminggiran Melayu. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi. 2009.
Mohamad Md Yusoff. Media dan Masyarakat. Satu Kumpulan Esei. Dewan Bahasa dan Pustaka. 2000.
Mohd Afendi Mat Rani. Soal Hati. Ampang press Sdn Bhd. 2010.
Muhammad Nur Effendi. Cendekiawan Muslim: Membina Tamadun dan Kecemerlangan Umat. Perniagaan Jahabersa. Johor Bahru. 1997.
Muhammad Uzair Al Aziz. Islam Penyubur Jiwa dan Pendidik Akhlak Manusia. Era Ilmu Sdn Bhd. Kuala Lumpur. 1995.
Mus Chairil Samani. Penulisan Rencana Berkesan. Dewan Bahasa dan Pustaka. 2005.
Nur Ashiqh. Mendidik anak genius. Jasmin Enterprise. Kuala Lumpur. 2004.
Nisah Haron. Karya Kita Hak Kita: untuk semua. Ameen Serve Holdings Sdn Bhd. Kuala Lumpur. 2008.
Othman Puteh. Penulisan Kreatif. Teori, pengalaman, cabaran. Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd. 2000.
Saleh Faghirzadeh. Sosiologi Sosiologi. Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad. Kuala Lumpur. 2004.
Shamsul Amri Baharuddin. Masyarakat Malaysia dan Alam Sosialnya. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 1993.
Sidik Baba. Fikir dan Zikir. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 2009.
Siti Hawa Salleh. Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 2002.
Siti Rodziyah Nyan. Akhbar Saudara: Pencetus kesedaran masyarakat Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 2009.
Sulaiman Masri dan Razali Ayob. Komunikasi Kewartawanan: penulisan berita, rencana dan ulasan. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. 2002.
Susan R. Horton. Penulisan: Cetusan Fikiran (terjemahan). Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 1993.
Zamri Mohamad. Tip menjadi penulis Bestseller. PTS Profesional Publishing Sdn Bhd. 2009.
Za’ba. Ilmu Mengarang Melayu: edisi ejaan rumi Bahru. Dewan Bahasa dan
Pustaka. 2002.
Zawiyah Mohammad Yusoff, Masnizah Mohd Sains Sosial dan Teknologi Maklumat. Prentice Hall, Pearson Malaysia Sdn Bhd. 2005.
Ulasan
Catat Ulasan