COVID-19: 24 kes baru, empat kluster masih aktif.
![]() |
Gambar ehsan Kementerian Kesihatan Malaysia |
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM) mengesan 24 jangkitan baru Covid-19 di mana empat kluster masih aktif dan menyumbang penularan tempatan.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato' Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengesan pertambahan kes di Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak dan Sabah yang babitkan beberapa kluster.
Noor Hisham berkata, penularan tempatan itu membabitkan Kluster Sungai, Kluster Telaga, Kluster Tawar dan Kluster Benteng LD.
"Pecahan jangkitan baru Covid-19 dari kluster terbabit adalah Kluster Sungai (13 kes), Kluster Telaga (1 kes), Kluster Tawar (1 kes), Kluster Benteng LD (2 kes)," katanya melalui kenyataan media di media sosial rasmi KKM, hari ini.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di kalangan petugas barisan hadapan terutama petugas kesihatan dari sektor awam dan swasta.
"Keadaan ini membimbangkan kerana mereka memainkan peranan penting sebagai tulang belakang sistem kesihatan negara," katanya.
Beliau berkata lagi, hasil siasatan mendapati kes positif Covid-19 di kalangan petugas kesihatan KKM kebanyakannya berpunca daripada penularan di kalangan petugas kesihatan sendiri.
"Ianya menyumbang sebanyak 53 peratus daripada keseluruhan kes yang melibatkan petugas kesihatan. Bermakna, lebih separuh daripada petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 mendapat jangkitan daripada petugas kesihatan lain, " katanya.
Noor Hisham berkata, jangkitan daripada komuniti adalah sebanyak 22 peratus, manakala jangkitan semasa pengurusan pesakit yang belum diketahui status Covid-19 pula sebanyak 17 peratus.
Ulasan
Catat Ulasan