COVID-19: Malaysia, zon merah bertambah.
![]() |
Gambar ehsan Kementerian Kesihatan Malaysia |
VIRUS berbahaya Covid-19 masih berada dalam komuniti masyarakat dan menyebabkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa meletakkan beberapa kawasan dalam negara sebagai zon merah.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh 14 hari lalu terdapat lima kawasan di negara ini bertukar menjadi zon merah.
Noor Hisham berkata, terdapat empat zon merah di Sabah iaitu di Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna serta satu lagi di Alor Setar, Kedah.
"Dinasihatkan individu bergejala yang pernah mengunjungi zon merah wajib melakukan ujian saringan Covid-19 di fasiliti kesihatan berhampiran," katanya melalui kenyataan media di media sosial rasmi KKM, hari ini.
Menurut Noor Hisham, individu yang bergejala Covid-19 juga digalakkan melakukan kuarantin kendiri semasa menunggu keputusan saringan.
"Kesedaran melakukan saringan dan mengkuarantin kendiri berupaya melindungi ahli keluarga, rakan-rakan serta masyarakat sekitar," katanya.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, hingga jam 12 tengahari tadi, terdapat 71 kes baharu yang dilaporkan dan menjadi kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 10,576 kes.
"Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 777 kes dan pesakit sudah diasingkan dan diberi rawatan," katanya.
Penularan pada gelombang baharu di negara ini harus dilihat secara serius kerana para penyelidik Hospital Methodist, Houston, Amerika Syarikat mendapati hampir kesemua jangkitan gelombang baharu di negara itu mengalami mutasi.
Mutasi yang dikenali D614G berkenaan membolehkan virus Covid-19 bercantum dan menjejaskan sel manusia dan menyebabkan komplikasi serius kepada pesakit yang mempunyai penyakit lain.
Ulasan
Catat Ulasan