COVID-19: Terkini (13.8.2020), Kluster Tawar.
Oleh Sulaiman Salleh
Sulaimansalleh2015@gmail.com
Gambar ehsan Kementerian Kesihatan Malaysia.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM) mengesan kluster baru dikenali Kluster Tawar yang tertumpu di Mukim Tawar, Kedah.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama membabitkan kluster berkenaan dikesan pada seorang peniaga yang menunjukkan gejala sakit dada serta demam pada 8 Ogos lalu.
Noor Hisham berkata, lelaki warganegara tempatan itu mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga dari 31 Julai hingga 1 Ogos lalu, serta dihadiri seramai 30 orang.
"Lelaki terbabit menjalani saringan Covid-19 pada 9 Ogos lalu dan dikesan positif pada 11 Ogos 2020," katanya melalui kenyataan media di laman sosial KKM, semalam.
Beliau berkata, KKM segera melakukan aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat dengan pesakit terbabit.
"Sehingga 13 Ogos 2020, 86 kontak rapat dengan mangsa sudah disaring. Seramai sembilan kes dikesan positif Covid-19; 21 disahkan negatif; dan 56 masih menunggu keputusan," katanya.
Hingga penulisan ini dihasilkan, KKM mengesan 15 jangkitan baru Covid-19, menjadikan jumlah terkini sebanyak 9,129 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 183 kes.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, berita tular seorang pelajar di sebuah sekolah di Seri Pantai yang disyaki bergejala Covid-19 disahkan negatif.
Katanya, kesemua kontak rapat pelajar terbabit yang dilakukan ujian pengesahan Covid-19 juga negatif.
(Penulisan ini dikemaskini pada 13.8.2020: jam 6.30pm)
Penulis tidak bertanggungjawab terhadap pandangan melalui artikel ini dan ianya adalah pandangan peribadi daripada pemberi sesuatu pandangan.
Ulasan
Catat Ulasan