COVID-19: Kluster baru (14.8.2020), Muda di Kedah
Oleh Sulaiman Salleh
Sulaimansalleh2015@gmail.com
Gambar ehsan Kementerian Kesihatan Malaysia.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA mengesahkan sebanyak 20 kes jangkitan baru Covid-19 dan terdapat kluster baru yang dikenali Kluster Muda di Kedah.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hingga kini pihaknya mengesan dua kluster aktif iaitu Kluster Muda dan Kluster Tawar.
Noor Hisham berkata, kes pertama Kluster Muda adalah lelaki warganegara yang bertugas sebagai anggota polis dan 124 kontak rapat lelaki terbabit sudah disaring.
Katanya lagi, hingga kini seramai 124 kontak kepada kes pertama Kluster Muda sudah disaring. Hasilnya, 2 kes dikesan positif Covid-19, 5 negatif dan 117 sedang menunggu keputusan.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, seramai 261 individu sudah disaring dalam Kluster Tawar, daripada jumlah itu 21 kes dikesan positif Covid-19 dan 88 individu sedang menunggu keputusan. Kebanyakan individu yang disahkan positif dengan kluster ini berada di Kedah dan Pulau Pinang.
"Hari ini Kluster Tawar sebanyak 11 kes baharu dan Kluster Muda sebanyak 1 kes baharu," katanya melalui media sosial rasmi milik KKM.
Noor Hisham berkata daripada 11 kes baru Covid-19 dari Kluster Tawar, 5 kes adalah petugas hospital dan seorang pesakit yang pernah ditempatkan sebilik bersama kes pertama kluster berkenaan.
"Selebihnya melibatkan ahli keluarga dan majikan pesakit," katanya.
(Penulisan ini dikemaskini pada 13.8.2020: jam 6.30pm)
Penulis tidak bertanggungjawab terhadap pandangan melalui artikel ini dan ianya adalah pandangan peribadi daripada pemberi sesuatu pandangan.
Ulasan
Catat Ulasan