ASAS PENULISAN: BAB 1
BAB 1
PENGENALAN
Awal pembabitan pengarang dalam bidang penulisan sekitar awal tahun 1990-an didorong oleh jiwa yang memberontak untuk mencurahkan perkara-perkara yang bermain di fikiran. Hampir dua dekad menceburi bidang penulisan, pengarang beranggapan bahawa idea adalah faktor terpenting dalam menghasilkan satu demi satu karya sama ada berbentuk karya kreatif, akademik, bacaan umum dan sebagainya.
Bagaimanapun, apabila menceburi bidang akademik secara sepenuh masa di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan atas permintaan serta galakkan daripada penuntut dan rakan-rakan yang berminat untuk turut berkarya maka buku asas penulisan ini berjaya dihasilkan bagi edisi pertama pada Mac 2010. Pelbagai perkara yang luar dari jangkaan pengarang temui antaranya kepengarangan didapati mempunyai hubungan dengan kalbu, jiwa, falsafah dan lain-lain perkara.
Setelah mengkaji hubungan kepengarangan dengan perkara-perkara yang dinyatakan itu, ditemui bahawa hasil penulisan seseorang mengambarkan wajah sebenar mengenai dirinya.
Meneruskan perbincangan, pengarang mempercayai individu yang membaca penulisan ini dipercayai pernah terdetik sekurang-kurangnya sekali di hati untuk menghasilkan sebuah karya seperti buku autobiografi, buku biografi, buku masakan, buku hiasan dalaman dan sebagainya. Keinginan yang dimaksudkan itu seterusnya akan diiringi dengan persoalan mengapa harus menulis, bagaimana untuk memulakannya, bila ia perlu dimulakan, untuk siapa karya yang bakal dihasilkan, di mana karya yang bakal dihasilkan boleh diterbitkan dan berapa jumlah cetakan yang perlu dilakukan?
Pada zaman yang serba moden ini, masalah-masalah yang dikemukakan itu boleh diselesaikan. Hal utama yang perlu diutamakan adalah bagaimanakah untuk menghasilkan sesuatu penulisan yang diinginkan. Persoalan itu harus diutamakan kerana menghasilkan sesuatu penulisan terutamanya penulisan kreatif, separa kreatif dan penulisan ilmiah tidak mudah dilakukan. Setiap pengarang yang baru menceburi atau mereka yang sudah sekian lama dalam dunia penulisan ini kebanyakannya masih menganggapnya penuh dengan cabaran dan dugaan yang memerlukan kesabaran untuk dilalui. Tetapi pengalaman menjadi seorang penulis yang dikenali sebagai pengarang amatlah menyeronokkan. Seolah-olah masalah yang selama ini bermain di fikiran seseorang pengarang telah dapat diselesaikan.
Contohnya, seorang remaja mungkin akan keliru apabila ditemukan dengan ‘Cinta Pertama’. Keseronokan dan kelegaan akan dapat dirasakan apabila erti ‘Cinta Pertama’ itu dapat dimengerti dengan lebih jelas. Sesuatu penulisan tidak akan dapat dilakukan jika maksud sebenar apa yang cuba dimengerti tidak ditemui. Erti kata lain, pengetahuan mengenai pencarian maksud perlulah ditemui sebelum sesuatu penulisan itu diakhiri. Bagaimanapun, keseronokan sebaik penulisan itu dapat disiapkan amat bergantung pada tempoh masa yang diambil oleh seseorang pengarang. Mungkin sehari, seminggu, sebulan, setahun, sedekad, seabad atau seumur hidupnya masih tidak ditemui akan keseronokan itu.
Seseorang yang bercita-cita menjadi seorang novelis, penulis skrip drama atau penulisan lain berhadapan dengan cabaran yang memerlukan semangat yang kental. Harus diingat bahawa semangat yang kental juga tidak mencukupi untuk menjadikan cita-cita itu satu kenyataan. Semangat itu perlulah diiringi dengan penambahan ilmu pengetahuan yang diperlukan untuk mengetahui sesuatu yang ingin ditulis.
Membicarakan maksud yang dinyatakan itu, berdasarkan pengalaman lalu terdapat beberapa rakan pengarang yang pernah terbabit dengan aktiviti penulisan dan menyertai pelbagai bengkel penulisan masih gagal menghasilkan sebarang penulisan seperti penulisan berbentuk cerita kanak-kanak, cerpen, novelet, novel, skrip drama atau skrip radio.
Pengarang berpendapat kebanyakan kegagalan itu berlaku adalah disebabkan oleh beberapa faktor antaranya:
a. Tiada galakkan. Kebiasaannya penulis seperti ini tidak menyertai mana-mana persatuan penulis dan menulis hanya untuk kepuasan diri.
b. c.
(Artikel ini dikemaskini pada 20.12.2020: jam 7.00pm)
Penulis tidak bertanggungjawab terhadap pandangan melalui artikel ini dan ianya adalah pandangan peribadi daripada pemberi sesuatu pandangan.
Sulaimansallehkuis2.blogspot.com @ copyright2020
x
Kecewa. Kecewa kerana usaha tidak setimpal dengan imbuhan yang diperolehi. Terdapat juga pengarang yang kerap ditipu oleh penerbit, kesannya pengarang yang baru dalam bidang penulisan kecewa lalu mengkuburkan impiannya itu.
Hala tuju penulisan. Tidak mengetahui di mana harus diserahkan hasil penulisannya. Penulis harus menambahkan ilmu pengetahuannya dalam bidang penulisan terutama hal-hal yang berkaitan dengan penerbitan.
d. Syok sendiri. Menyangkakan karyanya adalah yang terbaik dan harus diterbitkan oleh penerbit.
e. Ego. Tidak mahu karyanya diedit walaupun sepatah perkataan.
f. Menulis mengikut perasaan. Setiap hasil penulisan terutama di negara ini harus mematuhi undang-undang negara. Seseorang penulis boleh diambil tindakan jika didapati melanggar mana-mana undang-undang negara.
Pengarang bersyukur kerana sehingga kini, selepas lebih 20 tahun menceburi bidang penulisan perjalanan yang dilalui berjalan dengan lancar walaupun terdapat beberapa gangguan serta cabaran dalam tempoh masa yang panjang itu. Juga, syukur kepada Tuhan kerana sebahagian daripada gangguan serta cabaran itu berjaya dilalui.
Sekadar berkongsi pengalaman, ingin dinyatakan bahawa awal pembabitan pengarang dalam bidang penulisan pada usia 18 tahun (penghujung tahun 1980-an) mempunyai kaitan dalam mencari erti ‘Cinta Pertama’. Perasaan itu telah banyak mengganggu tumpuan pengarang dalam menimba ilmu pengetahuan.
Kehadiran perasaan yang datang secara tiba-tiba, diiringi dengan keazaman untuk mengutamakan cita-cita yang masih kabur maka pengarang bersungguh-sungguh untuk melupakan perasaan cinta itu. Malangnya, perasaan itu tidak mudah dilupakan dan sememangnya ‘Cinta Pertama’ adalah cinta yang sungguh indah dan mengasyikkan. Tetapi tidak semua insan yang melaluinya berjaya menikmatinya sehingga ke jinjang pelamin dan melayarinya sehingga ke bahtera kehidupan yang penuh dengan gelora.
Pada usia remaja itu juga pengarang terus mencari ‘erti cinta’ dengan membaca apa saja penerbitan berkaitan cinta terutamanya yang terdapat di perpustakaan awam. Hasilnya, secara perlahan-lahan pengarang mulai mengenali bahawa erti cinta yang sebenarnya amatlah luas, antaranya cinta kepada Tuhan, cinta kepada nabi-nabi dan rasul-rasul, cinta kepada alam, cinta kepada ibu bapa dan sebagainya.
Ketika pencarian erti cinta itu dilakukan pada masa yang sama pengarang menulis puisi, ayat-ayat cinta, cerpen yang berbentuk cinta bagi meluahkan dan mengurangkan kegelisahan jiwa yang memberontak supaya dapat dibebaskan daripada perasaan cinta yang tidak diundang itu.
Ketika menunggu keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada awal tahun 1990-an, atas dorongan rakan-rakan, penulis menyertai Persatuan Penulis Johor (PPJ) cawangan Muar dan Persatuan Penggiat Teater daerah Muar. Melalui kedua-dua persatuan itu pengarang mulai berkongsi pengalaman dengan penulis yang aktif dalam penulisan, dan melalui Persatuan Penggiat Teater pula penulis dilatih untuk menghayati sesuatu watak seperti diri dianggap seperti watak orang tua, burung yang terbang di udara, pokok yang ditiup angin dan sebagainya. Pencantuman antara kegiatan penulisan dan teater itu membantu penulis untuk menghayati sesuatu watak seperti watak orang tua walaupun usia pengarang ketika itu masih dalam belasan tahun.
Pada masa itu juga, pengarang mendapati perlunya kemahiran menggunakan mesin taip dalam penulisan. Pengarang juga mengambil keputusan belajar menaip dengan sebuah pusat latihan menaip di bandar Muar. Bagaimanapun, pengarang tidak menamatkan latihan di pusat latihan itu kerana perasaan cinta kepada seseorang yang hampir dapat dilupakan seolah-olah disuntik kembali oleh seorang gadis yang tidak dikenali.
Perjalanan menceburi bidang penulisan pengarang semakin mudah apabila suatu hari seorang rakan ingin menjual mesin taip terpakainya pada harga sekitar RM200 melalui bayaran secara ansuran selama tempoh beberapa bulan. Dengan pengetahuan menaip mengikut kaedah yang seharusnya kebanyakan karya kreatif yang dihasilkan didapati lebih kemas dan sesuai dikirimkan kepada media cetak dan elektronik untuk disiarkan.
Dari situ, pengarang mulai menghantar karya berbentuk cerpen dan sajak ke media elektronik seperti Radio Tiga Melaka dan Radio Tiga Johor Bharu. Terdapat juga karya puisi dihantar ke Utusan Melayu dan Berita Harian serta beberapa majalah. Ketika itu penulis mulai dapat merasakan bahawa karya yang dihasilkan itu mulai mendapat tempat dalam media-media berkenaan. Dipercayai, bukti kebanyakan karya yang pernah disiarkan di akhbar bercetak dan elektronik itu memberi peluang kepada pengarang untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi apabila pada tahun 1992 ditawarkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Am, kini dikenali Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam.
Kebanyakan masa yang terluang terutama ketika cuti semester, pengarang mengembangkan idea cerpen berkisar mengenai ‘Cinta Pertama’ yang dialami dan karya itu diberi tajuk ‘Harapan Kekasih’. Pengarang berjaya melakukannya dan selepas diperbaiki sebanyak tiga kali dengan menggunakan mesin taip terpakai manuskrip novel berkenaan berjaya disiapkan. Pengetahuan tambahan dalam bidang penerbitan setelah diterima belajar ke UiTM membolehkan pengarang menghasilkan beberapa novel kemudiannya di samping penerbitan lain.
Tiga novel yang berjaya dihasilkan pengarang sehingga 2010
Pengalaman yang dialami pengarang itu menyedarkan dirinya bahawa sememangnya setiap cabaran yang dialami perlulah dihadapi sehingga berjaya. Seandainya ketika diuji dengan perasaan ‘Cinta Pertama’ pengarang mengambil jalan pintas seperti menjadi nelayan di laut dalam atau memasuki tentera kemungkinan kehidupan tidaklah selesa pada masa kini.
Pencarian pengarang dalam mencari erti cinta menemukan penulisan yang dihasilkan oleh Imam Nawawi yang menjelaskan bahawa cinta kepada Allah S.W.T adalah sebaik-baiknya. Menyintai Allah adalah reaksi atau hasil daripada kekuatan iman. Keimanan yang yakin terhadap kewujudan Allah S.W.T dengan hati atau dilafazkan dengan kata-kata dan dilaksanakan dengan amalan. Seterusnya patuh kepada larangan dan suruhan-Nya.
Buku-buku bacaan umum yang ditulis pengarang
Mengimbau kembali kenangan lalu pengarang, sebaik sesuatu idea sudah berjaya dijadikan dalam bentuk tulisan walaupun ringkas, hati ini akan berasa tenang serta seolah-olah masalah berat yang difikirkan telah diletakkan di suatu tempat yang selamat dan boleh dibelik kembali apabila diperlukan. Pengarang juga tidak perlu bimbang jika idea atau bahan yang selama ini ingin dicurahkan dalam bentuk tulisan hilang tanpa diketahui oleh sesiapa kecuali diri sendiri. Lebih mengecewakan jika ideanya itu terus berkubur bersama fikirannya yang semakin lemah dan lemah hingga ke akhir hayatnya.
Bagaimanapun, untuk menjadi seorang pengarang tidaklah semudah yang disangkakan. Terdapat pengarang yang dibentuk melalui bakat semula jadi dan terdapat juga yang dibentuk melalui panduan atau kursus yang bersistematik. Mereka yang mempunyai bakat semula jadi tidak memerlukan tahap pendidikan yang tinggi tetapi mampu menghasilkan karya yang berkualiti terutamanya karya kreatif atau separa ilmiah.
Pengarang yang dibentuk melalui panduan atau kursus bersistematik pula kebiasaannya mereka yang berpendidikan tinggi serta lepasan universiti. Cara pengajarannya pula dilakukan oleh tenaga akademik yang mahir dalam membentuk seseorang menjadi pengarang yang berupaya melahirkan karya yang bermutu dan berkualiti. Pengarang belum menemui sebarang kajian yang menyentuh kejayaan menjadi pengarang hasil daripada pendidikan secara formal berbanding pengarang yang diasah bakatnya melalui bakat semula jadi dan kesan genetik (baka) atau keturunan. Bagaimanapun, pengarang yang dilahirkan bersama bakat semula jadi dalam bidang penulisan serta mempunyai ahli keluarga yang terkenal sebagai penulis diiringi dengan latihan mengarang secara formal, pengarang seperti ini kebiasaannya mampu menjadi popular hasil daripada karya terutama karya kreatif yang dihasilkan.
Menurut Mohd Salleh Lebar (1995) baka adalah ciri-ciri perwarisan yang dibawa oleh ibu bapa kepada keturunannya. Ciri-ciri itu adalah warna mata, rambut, kulit, jenis darah, bentuk atau saiz tubuh dan keupayaan mentaliti.
Dinyatakan juga bahawa baka dapat menguasai dan mempengaruhi penyuburan mental-emosi dan fizikal seseorang dan ditentukan sebelum seseorang individu dilahirkan.
Maksud baka dari segi bidang sains adalah dua bahagian kecil nucleus yang ada pada sel-sel ovum (wanita) dan sperma (lelaki) yang dinamakan kromosom, hormon dan gen kelenjar. Sel tubuh seseorang pula mengandungi 46 kromosom iaitu 23 daripada ibu dan 23 daripada bapa. Gen yang terdapat dalam kromosom mengandungi 30,000 hingga 40,000 butir-butir halus dan pembawa baka seseorang.
Membicarakan lebih lanjut, penulisan yang dihasilkan oleh seseorang adalah antara satu daripada cara sesuai untuk mengenali dirinya yang sebenar atau kemampuan mengenai sesuatu perkara. Kadangkala dirasakan bahawa ilmu berkaitan bidang yang diceburi sudah berada di tahap yang memuaskan, tetapi sebaik kesemua ideanya dicurahkan dalam bentuk tulisan, didapati masih terdapat kekurangan yang perlu ditambah dan diperbaiki. Itulah antara perkara yang kebiasaannya dilalui oleh seseorang pengarang.
Memperkatakan mengenai perkara yang dinyatakan itu, sebenarnya ilmu pengetahuan yang berhubung kejadian alam ciptaan Tuhan adalah sesuatu yang luas dan mustahil boleh diketahui kesemuanya oleh manusia. Contohnya, buku yang menyentuh mengenai jenis-jenis pokok. Pastinya, terdapat berjuta-juta jenis pokok di dunia ini dan mustahil untuk disenaraikan kesemuanya dalam sebuah buku. Perkara itu semakin kelihatan mustahil apabila penyenaraian buku itu hanya dilakukan oleh seorang penulis tanpa membuat penyelidikan yang dibantu oleh beberapa pembantu.
Menyatakan demikian, pengarang mengharapkan penulisan yang disediakan ini berupaya membantu para pembaca melahirkan bahan penulisan yang baik serta bermutu.
Zamri Mohamad (2009), berpendapat penulisan yang baik bukan kerana wang semata-mata. Pengarang seharusnya menulis buku yang mampu membantu menyelesaikan masalah, memberi maklumat dan menunjuk cara kepada pembaca mengenai sesuatu perkara.
Seterusnya Zamri menambah, pengetahuan pengarang berkembang melalui aktiviti berkarya dari semasa ke semasa dan mampu menjelaskan sudut pandang penulis terhadap genre dan bidang ilmu yang diceburinya.
Selain itu, Mohd Sidin Ahmad Ishak (1999) menyatakan bahawa:
“Penulis yang baik mampu berfikir tentang idea-idea yang ingin dituliskan, menyusun idea-idea itu dan menyampaikannya kepada pembaca dengan butiran-butiran yang minimum.”
Beberapa pandangan yang dikemukakan oleh pengarang yang dinyatakan sebelum ini turut disokong oleh pengarang barat antaranya Susan R. Horton (1982) yang menyatakan bahawa penulisan yang baik mempunyai hubungan sesuatu dengan cara munasabah, menarik serta meyakinkan.
“Menulis dengan baik lebih berhubung kait kepada sikap dan pemahaman – pemahaman tentang permainan yang sedang anda mainkan dan mahu bermain dengan baik – dengan mematuhi peraturan atau mengelak daripada melakukan kesalahan.”
Seterusnya Susan R. Horton menambah, “Sebahagian sikap penulis yang baik ialah kesanggupan menanggung risiko untuk menyatakan sesuatu yang baru. Ia juga merupakan kesanggupan untuk berjuang dan bergelut dengan idea dan menjadikannya bentuk. Tetapi menulis dengan baik juga melibatkan membiasakan diri untuk memasang antena pada setiap masa, memerhatikan bahan yang mungkin digunakan dalam sesuatu esei. Bahan tersebut mungkin tersembunyi di mana-mana.”
Penulisan yang baik datangnya daripada pengarang yang baik. Pengarang yang baik haruslah banyak membaca bahan-bahan bacaan yang berfaedah.
Susan R. Horton seterusnya menambah bahawa seseorang pengarang harus banyak membaca bagi membantunya bersedia menulis perkara yang dihayati dan seterusnya menemukannya dengan jawapan kepada soalan atau permasalahan yang ingin diungkai.
“Orang yang membaca dengan banyak tidak semestinya seorang penulis, tetapi penulis lazimnya ialah orang yang banyak membaca. Memiliki pemikiran yang arif memastikan anda sentiasa mempunyai persediaan untuk menulis perkara yang dihayati, dan dengan itu anda akan berupaya mengenali jawapan kepada soalan atau masalah apabila anda berdepan dengannya. Sebagaimana Jerome Bruner memberitahu kita dalam bukunya On Knowing, penemuan sering membantu akal yang cukup bersedia.”
Sebelum menghasilkan penulisan yang baik atau membentuk diri menjadi pengarang haruslah diteliti dan diperhalusi. Di bab seterusnya dalam penulisan ini disertakan perbincangan mengenai bagaimana membentuk diri sebagai pengarang.
Ulasan
Catat Ulasan