ASAS PENULISAN: BAB 7
BAB 7
KEPENGARANGAN DAN AKAL
7.1 Pengenalan akal
Menyebut perkataan akal secara umumnya ia berhubung keupayaan manusia untuk mengingat dan menghafal. Dewan Bahasa dan Pustaka (2010) mendefinisikan akal sebagai kebijaksanaan atau fikiran.
Sidik Baba (2009) menyatakan bahawa akal berupaya menyebabkan pemikiran berkembang dan daya taakulan (membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal) terjadi. Berfikir menghasilkan pemikiran dan akhirnya mencetuskan idea, gagasan, andaian, pendapat, analisis, hipotesis, dan teori.
Diperjelaskan bahawa akal manusia adalah terbatas dan kesannya pemikiran manusia mengenai sesuatu juga terbatas. Bagaimanapun, keinginan manusia untuk mengetahui hasil ciptaan-Nya ini membuatkan mereka terus berusaha untuk mendapatkan jawapannya:
“Berbekalkan sedikit ilmu yang diberikan oleh Allah SWT, manusia terus melakukan pengamatan, pencarian, penyelidikan, rumusan dan hipotesis untuk menemui makna sesuatu kajian yang dicari. Ada teori yang bersifat sementara dan didapati relevan pada waktu-waktu tertentu, dan tidak relevan pula pada waktu yang lain.”
Menurut Sidik Baba lagi, akal manusia sebenarnya adalah alat dan sifat alat sememangnya terbatas. Tetapi, alat itu mampu membantu ke arah pencapaian matlamat sekiranya pemikiran yang ada membantu akal untuk berkembang secara fitrah. Seterusnya dinyatakan bahawa maklumat yang diterima, data yang diperoleh dan fakta yang terkumpul memerlukan analisis supaya maksud di sebalik kajian dan dapatan menemukan manusia dengan sesuatu yang lebih bermakna.
Sesuatu analisis yang diperolehi yang dicoretkan dalam bentuk penulisan berupaya dikaitkan dengan pencipta-Nya serta berupaya menyedarkan manusia bahawa betapa kerdil dirinya sebagai makhluk ciptaan Allah SWT.
Sementarai itu, Dr Danial Zainal Abidin (2011) pula menyatakan berdasarkan ayat sembilan surah as-Sajdah yang bermaksud:
“Kemudian dia menyempurnakan kejadian serta meniupkan padanya: roh ciptaannya. Dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.”
Menurutnya beliau lagi:
“Allah SWT menggunakan perkataan ‘pendengaran’ (sam’a) dan bukannya telinga. Allah juga menggunakan perkataan ‘penglihatan’ (absaar) dan bukannya mata dan Allah menggunakan perkataan ‘akal’ ataupun ‘hati’ dan bukannya ‘otak’. Tambahan daripada itu, dalam ayat ini proses kejadian ketiga-tiga ini (iaitu pendengaran, penglihatan dan akal ataupun hati) disebutkan selepas roh ditiupkan. Justeru, penekanannya adalah kepada proses penyempurnaan sistem-sistem selepas roh ditiupkan di samping kepentingannya pada perkembangan janin.”
Dr Danial seterusnya menambah pendengaran dan penglihatan penting dalam proses pembentukan insan kerana memberi kesan yang besar terhadap akal dan hati. Ayat sembilan surah as-Sajdah menyebut ‘sistem pendengaran’ terlebih dahulu sebelum ‘penglihatan’ serta ‘akal ataupun hati’:
“Hal ini disebabkan sistem pendengaran berinteraksi dengan persekitaran luar rahim pada peringkat awal lagi sebelum janin dilahirkan. Ia boleh kita anggap antara sistem yang penting kerana melaluinya pendidikan prakelahiran dapat dilaksanakan.”
Menyentuh mengenai penglihatan pula, menurut Dr Danial:
“Berhubung dengan penglihatan, bayi hanya dapat melihat dengan sempurna selepas dilahirkan. Walau bagaimanapun kajian menunjukkan mata janin mampu fokus semasa berumur 31 hingga 32 minggu dalam rahim ibu. Hal ini dilaporkan oleh Dr David B. www.birthpsychology.com. Mengikut Reg Furlough pula dalam artikel ‘How The Science of Sound Helps Your Unborn and Newborn Baby’, janin mempunyai keupayaan untuk melihat semasa berumur tujuh bulan dalam rahim. Pengaruh daripada pendengaran dan penglihatan kemudiannya memberi kesan kepada pembentukan akal dan hati.”
Seterusnya Dr Danial menyatakan bahawa sebaik seseorang bayi dilahirkan pancaindera pendengaran dan penglihatan memainkan peranan penting dalam peningkatan keupayaan akal. Sel-sel otak yang mencecah 100 bilion pula perlu berhubung dengan sel-sel otak yang lain dari semasa ke semasa bermula dari bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa yang sesuai dengan peningkatan usianya.
“Hamka di dalam ‘Tafir al-Azhar’ berkata, “Pendengaran dan penglihatan adalah bagi menghubungkan diri kita dengan alam di sekeliling kita. Hasil daripada penglihatan dan pendengaran itu membawa (kesan) ke dalam hati kita untuk dipertimbangkan dan direnungkan bertujuan bagi menginsafi kebenaran Allah di samping (mengelokkan) pertalian hidup sesama manusia.”
7.2 Hubungan akal dan kepengarangan
Kebanyakan pengarang adalah golongan pemikir yang menggunakan akal untuk berfikir memikir mengenai kehidupan, masa hadapan, keajaiban alam, kewujudan perkara-perkara yang pelik seperti makhluk halus dan sebagainya. Ramai di kalangan pemikir yang sensitif serta menggunakan ilmu, penyelidikan, atau pancaindera mereka untuk mengenali sesuatu yang didorong oleh naluri mereka untuk mengetahuinya.
Sebagai manusia yang mempunyai kelebihan akal berbanding makhluk haiwan dan tumbuh-tumbuhan banyak kemudahan serta alat ciptaan menulis dihasilkan seperti mesin mencetak, pen, kertas, dakwat dan sebagainya. Sebagai makhluk ciptaan-Nya, manusia menyedari bahawa suatu masa nanti mereka akan meninggalkan dunia ini. Oleh demikian, pengetahuan yang diperolehi itu kebanyakannya ditinggalkan dalam bentuk sesuatu yang boleh dibaca atau difahami oleh generasi seterusnya.
Sidik Baba (2009) menyatakan bahawa manusia memerlukan pedoman dan petunjuk supaya kemahiran berfikir yang digunakan setanding dengan sarjana Islam terdahulu yang mempunyai daya berfikir yang tinggi, menghasilkan buah fikiran yang bernas, kajian saintifik yang berguna untuk manusia sejagat.
Ulasan
Catat Ulasan