ASAS PENULISAN: BAB 2

BAB 2 

MEMBENTUK DIRI SEBAGAI PENGARANG 

 

 

Membicarakan bab ini dinasihatkan pembaca memahami maksud pengarang supaya pembacaan buku ini akan lebih berkesan. Dewan Bahasa dan Pustaka (2010) mendefinisikan pengarang sebagai orang yang mengarang cerita (lagu, sajak dan sebagainya) atau orang yang menyunting karangan untuk diterbitkan. Membicarakan bab ini pembaca diminta menumpukan kepada definisi pengarang sebagai orang yang mengarang cerita, lagu, sajak dan sebagainya. Perbicaraan mengenai definisi yang dikemukakan itu mempunyai hubungan pendapat yang dikemukakan oleh Hamedi Mohd Adnan. 

Hamedi Mohd Adnan (2008) menyatakan pengarang ialah orang yang menyusun gagasan atau idea yang kemudiannya disebar luas melalui buku. Hamedi seterusnya mengaitkan maksud pengarang itu dengan lebih luas. Beliau menyatakan bahawa pengarang adalah seseorang, atau suatu kelompok orang, suatu lembaga, pemerintah, dan badan yang mempunyai tanggungjawab terhadap idea yang disusun. Dinyatakan bahawa pengarang milik mutlak akan karya yang dihasilkan. 

Seperti mana tajuk utama bab ini iaitu membentuk diri sebagai pengarang, selain mengerti maksud pengarang, seseorang pengarang atau bakal pengarang harus mengetahui bahawa terdapat faktor lain yang membentuk dirinya sebagai pengarang. Ding Choo Ming (1999) dengan menyokong pendapat dua sarjana iaitu Laurenson dan Swingewood, menyatakan bahawa pengarang terbentuk daripada faktor sosial dan sejarah. Kesannya, setiap hasil penulisan yang dihasilkan oleh seseorang pengarang akan dipengaruhi oleh faktor sosial dan sejarah pada ketika sesuatu karya dihasilkan. 

Susulan daripada yang dikemukakan oleh Ding Choo Ming itu, pengarang berpendapat faktor sosial dan sejarah itu seterusnya melahirkan pendapat seseorang pengarang, seterusnya melahirkan persepsi (gambaran atau bayangan) mengenai sesuatu perkara atau isu. Akhirnya melahirkan idea baru kepada seseorang pengarang. Bagaimanapun, perkara yang dikemukakan oleh pengarang ini mungkin turut dipengaruhi oleh faktor latar belakang pendidikannya. Contohnya, pengarang yang berkelulusan dalam bidang komunikasi akan melihat pendapat dan persepsi sebagai sesuatu yang penting untuk melahirkan sesuatu idea. 

Seorang tokoh bahasa dan pemikir Melayu yang terkenal, Allahyarham Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) menyatakan bahawa mengarang memerlukan penguasaan bahasa dan daya fikiran yang saling berhubung kait. Menurut beliau lagi, terdapat karangan yang mudah dan sukar dicoretkan. Hasil yang dinyatakan oleh Za’ba itu, pengarang berpendapat mudah atau sukar menghasilkan sesuatu karangan adalah bergantung pada penguasaan bahasa dan keupayaan berfikir seseorang pengarang. 

“Bahasa itu alat mengeluarkan fikiran supaya dapat diketahui orang dengan mendengar atau membacanya. Maka jika bahasa yang dipakai itu tidak menepati betul-betul seperti maksud yang di dalam hati, tentulah orang tersalah faham atau tiada dapat oleh mereka tujuan yang dikehendakkan itu.” 

“Sebab itu bila mengarang wajiblah dihati-hatikan benar apa ertinya perkataan-perkataan yang dipakai di dalamnya, atau bagaimana rangkaian perkataan yang boleh mengeluarkan sebenar-benar maksud yang di dalam hati itu.” 

Kenyataan itu berdasarkan kepada huraian yang dinyatakan oleh Za’ba bahawa bahasa adalah alat mengeluarkan sesuatu yang difikirkan. Seterusnya kefahaman pembaca kepada apa yang difikirkan itu bergantung pada ketepatan bahasa yang digunakan. Penjelasan tokoh bahasa dan pemikir Melayu ini seterusnya mengingatkan kepada pengarang atau bakal pengarang bahawa ketepatan penggunaan perkataan haruslah diutamakan untuk melahirkan karangan atau karya seperti mana yang difikirkan. 

Seterusnya, pendeta ini menyatakan bahawa penguasaan tatabahasa iaitu pengetahuan atau pelajaran tentang pembentukan perkataan dan proses pembinaan ayat haruslah dikuasai oleh setiap pengarang. Proses itu dilihat sebagai satu kemahiran yang memerlukan latihan berterusan. 

“Belajar mengarang itu baik pun karangan senang atau karangan susah, tidaklah sekali-kali dikehendakkan mesti dimulai daripada nahu (tatabahasa), melainkan hendaklah dengan jalan yang dibuat dan dibiasakan selalu serta memerhati karangan orang yang pandai-pandai mengarang. 

 

 

 

2.1 Idea, ilham atau jiwa? 

 

Sepanjang tempoh menceburi bidang penulisan secara serius, pengarang beranggapan bahawa jiwa memberontak untuk mencurahkan atau berkongsi sesuatu yang menyentuh perasaan adalah permulaan sesuatu idea itu bermula. Seperti mana yang dikisahkan dalam bab pertama, awal pembabitan penulis dalam penulisan didorong untuk mencari jawapan erti cinta. Hasilnya pengarang mula mengerti erti cinta yang sebenar yang merangkumi cinta kepada Tuhan, cinta kepada Rasulullah, cinta kepada alam, cinta kepada keluarga, cinta kepada kedua-dua ibu bapa, dan lain-lain pengertian mengenai cinta. 

Bagaimanapun, semasa menyiapkan penulisan ini pengarang menemui beberapa pandangan yang membicarakan mengenai idea. Hasil daripada penemuan itu memaksa pengarang mulai terfikir untuk memikirkan kembali benarkah sesuatu idea itu berpunca dari jiwa pengarang yang memberontak untuk menceritakan sesuatu perkara. Seperti mana yang pernah dinyatakan oleh Tokoh Sasterawan Negara, Usman Awang (1992), antara sebab beliau menulis adalah disebabkan oleh jiwanya yang memberontak untuk mencurahkan apa yang tersimpan di jiwanya. 

Sebelum membicarakan maksud yang tersirat di sebalik kata-kata Usman Awang itu pengarang berpendapat perlu dibicarakan mengenai idea terlebih dahulu. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2010) mendefinisikan idea sebagai buah fikiran atau gagasan (buah fikiran yang dijadikan saranan). Membincangkan mengenai bab ini hasil daripada pandangan yang dikemukakan oleh ilmuwan yang dikesan melalui penulisan mereka, pengarang mulai mendapati anggapan yang dinyatakan sebelum ini harus diperhalusi. 

Mus Chairil Samani (2002) menyatakan bahawa minda di bawah sedar antara punca timbulnya sesuatu idea. Beliau menyatakan bahawa minda bawah sedar sentiasa bertungkus-lumus mengadun pelbagai maklumat yang diperolehi sama ada daripada pendidikan, pemelajaran, pembacaan ataupun pengalaman terdahulu. Idea tercetus apabila maklumat-maklumat yang terkandung di dalam neuron manusia bercantum. Maksudnya, seseorang harus berusaha keras terutamanya dalam menimba ilmu berkaitan mendapatkan idea yang bernas. 

Hasil daripada cetusan pendapat Mus Chairil jelas menunjukkan bahawa antara faktor kejayaan seseorang pengarang adalah pelbagai ilmu yang ada pada dirinya. Semakin banyak ilmu yang ada pada dirinya maka semakin bernaslah ideanya. 

Bagaimanapun, Ainon Mohd dan Abdullah Hassan (2007) menyatakan bahawa perkara-perkara yang berlaku di sekeliling seseorang individu adalah sumber ilham untuk mencipta idea yang bagus. Berdasarkan maksud yang dinyatakan itu menunjukkan bahawa sesuatu idea mempunyai hubungan dengan ilham. 

Menghalusi yang dinyatakan itu pengarang mulai terfikir pula bahawa hal mengenai ilham kerap dilupakan oleh pengarang sendiri, juga mungkin pengarang lain atau bakal pengarang. Dewan Bahasa dan Pustaka (2007) mendefinisikan ilham sebagai sesuatu yang menggerakkan hati atau menimbulkan daya cipta dan sebagainya untuk menghasilkan atau mencapai sesuatu. 

Sementara itu, Faizal Tehrani (2008) menyatakan bahawa ilham yang baik datang daripada bahan bacaan yang baik. Jenis karya yang dihasilkan pastinya berhubungkait dengan kesukaan dan kegemaran pengarang. Menghasilkan karangan yang baik juga berhubung dengan bahan-bahan baik yang dibaca oleh pengarang. Seterusnya Faizal menyatakan bahawa idea dan ilham sentiasa berada di sekeliling pengarang. Ilham atau idea yang diperolehi seterusnya dikukuhkan dengan khayalan, rasa, gagasan dan sebagainya. 

Menyentuh mengenai khayalan Faizal menyatakan bahawa: 

“Khayalan adalah keupayaan untuk mencipta citra dalam angan-angan tentang sesuatu yang belum pernah terjadi secara nyata. Khayalan ini bagaimanapun akan berpaksikan ilham. Sekali lagi, sekiranya ilham tersebut murni maka khayalan itu akan berbungakan sesuatu yang murni juga.” 

“Khayalan yang dijana dan digerakkan dengan optimum akan dapat menjadi satu media yang mempengaruhi dan membangkitkan perasaan pengarang serta pembacanya. Dalam erti kata lain, media tersebut dapat menjadi medium dakwah yang jelas.” 

 Ingin dinyatakan di sini bahawa berbekalkan ilmu saja tidak mencukupi untuk menghasilkan sesuatu penulisan. Pengarang harus mampu menghayati sesuatu isu yang ingin ditulis supaya penulisannya akan lebih mantap dan ilmu pengetahuan yang ingin disampaikan kepada pembaca akan lebih mudah difahami. 

Membicarakan penghayatan ia berhubung pula dengan jiwa pengarang. Kamus Dewan (2010) mendefinisikan jiwa sebagai batin (perasaan, fikiran, cita-cita dan lain-lain yang terkandung dalam hati manusia). 

Fayizah Md Najib (2004) pula menyatakan bahawa jiwa dan tubuh mempunyai hubungan kerja yang erat dan saling bereaksi sesama sendiri. Hubungan yang erat itu menyebabkan kedua-duanya saling mempengaruhi. Tubuh juga dikatakan memerlukan fikiran dan emosi untuk bergerak (kecuali gerak refleks yang automatik). 

Penggunaan jiwa dan tubuh dikatakan dilakukan sejak seseorang dilahirkan iaitu ketika menyesuaikan diri pada tempat seseorang dibesarkan. Melihatkan kepada penjelasan itu jelas menunjukkan bahawa pembentukan jiwa mempunyai hubungan dengan proses sosialisasiSosialisasi didefinisikan mengikut Kamus DBP (2010) terdapat tiga definisi yang berbeza: 

  1. Sosialisasi didefinisikan sebagai usaha untuk memindahkan hak milik seseorang menjadi milik negara (umum). 

  1. Perihal (perbuatan) bergaul dan bermesra (antara satu sama lain), pergaulan. 

  1. Proses mendidik seseorang untuk menyesuaikan diri dengan suasana (sikap, nilai dan sebagainya) yang dapat diterima dalam masyarakat. 

 

Perbincangan difokuskan kepada definisi ketiga kerana didapati lebih menepati topik perbincangan di bab ini. Jika diperhalusi sosialisasi bermaksud mendidik seseorang untuk menyesuaikan diri dengan suasana sekelilingnya serta mempunyai hubungan memadai perbincangan sikap dan nilai yang dapat diterima oleh masyarakat sekelilingnya. 

Pengarang berpendapat sikap dan nilai yang dimaksudkan itu adalah yang dapat diterima dalam sesuatu masyarakat. Contohnya, dalam masyarakat Melayu, seorang anak akan dianggap tidak sopan serta kurang ajar jika memanggil bapanya dengan nama panggilannya tanpa gelaran seperti bapa, ayah atau papa. Berbeza dengan segelintir masyarakat Eropah lebih menyukai jika anaknya memanggil dirinya dengan panggilan nama sahaja kerana dianggap lebih mesra. 

 Seterusnya, Fayizah Md Najib menambah di antara makhluk berdarah panas, hingga kini hanya manusia memiliki kemampuan merenung dan berkata kepada diri sendiri. Komunikasi dengan menggunakan bahasa dikatakan cara yang paling utama bagi perkembangan jiwa seseorang manusia. Lain-lain makhluk dikatakan menggunakan bahasa mereka yang terhad. Bahasa yang digunakan oleh manusia sering terbuka terhadap perubahan sekeliling. Manusia yang menggunakannya akan terus menerus mengubahnya sebagai proses penyesuaian. 

Berbicara mengenai jiwa pula, menurut Dr Mohd Sani Badron (2011) berdasarkan surah al-Sham dalam al-Quran, ayat 7-10, beliau menyatakan bahawa jiwa manusia mempunyai tanggungjawab istimewa kerana boleh meningkat tinggi atau jatuh ke peringkat yang tidak bermoral: 

“Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” 

Ringkasnya, pengarang berpendapat sesuatu penulisan akan bermula dari jiwa seseorang pengarang. Seterusnya dipengaruhi oleh faktor sekeliling. Timbulnya perasaan gelisah atau jiwa memberontak untuk mencoretkan atau meluahkan apa yang tersimpan di dalam jiwa. Akhirnya, lahirkan idea untuk mencatatkan apa yang tersimpan di dalam hati dengan menggunakan saluran bahasa dan penulisan. 

Bagaimanapun, perbincangan mengenai ilham selepas mendapat nasihat daripada beberapa rakan pensyarah yang pakar dalam bahasa Arab, dinyatakan bahawa perbincangan mengenai ilham haruslah perlu berhati-hati kerana dibimbangi ilham yang dinyatakan itu datangnya dari bisikan syaitan. Sebaik-baiknya seseorang pengarang hanya membicarakan pada peringkat pembentukan dan idea sahaja. 


 

 

2.2 PENGEMBANGAN IDEA 

 

Membicarakan pengembangan idea, ia adalah masalah yang kerap dihadapi oleh setiap pengarang sama ada yang baru atau sudah sekian lama menceburi bidang penulisan secara sambilan atau sepenuh masa. Malah, masalah itu turut dihadapi oleh tokoh wartawan negara, Allahyarham A Samad Ismail. Walaupun seorang tokoh wartawan yang banyak menulis, beliau masih menghadapi masalah untuk memulakan penulisan manuskrip autobiografi mengenai dirinya. 

 

gambar A Samad 001.jpg A Samad Ismail 

 

Dalam buku yang bertajuk ‘Memori A Samad Ismail di Singapura, terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), A Samad Ismail menyatakan bahawa tugas menyiapkan manuskrip autobiografi mengenai dirinya dirasakan amatlah berat untuk disiapkan kerana beliau tidak mempunyai pengetahuan serta ilmu bagi menulis sebuah autobiografi. Malah, pada usia lewat 60-an itu banyak ingatannya mengenai kisah atau pengalaman hidupnya sukar diingatkan kembali. Bagaimanapun, dengan sokongan daripada kakitangan dan pensyarah di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM, manuskrip yang diusahakan itu dapat disiapkan. 

Pengajaran daripada masalah yang dihadapi oleh A. Samad Ismail, seseorang pengarang muda yang berminat menulis mengenai autobiografi perlulah mulai menulis dalam sebuah diari mengenai perjalanan kehidupannya. Ia penting bagi mengelak terlupa tarikh-tarikh penting. Tarikh penting itu bukan sahaja untuk diri sendiri, mungkin juga untuk orang lain. 

Sementara itu, Hamzah Hussin dalam bukunya yang bertajuk ‘Dari Keris Film ke Studio Merdeka’ banyak membantu siswazah terutamanya mereka yang mengkaji dalam bidang pengajian media. Buku yang dihasilkan oleh Hamzah itu menyentuh mengenai sejarah awal filem Melayu hingga cara pengambaraan filem itu dilakukan. Tanpa terbitan bahan sebegitu, tanpa pengorbanan yang berlandaskan minat, pastinya sejarah filem negara ini sukar diperolehi. Penulis juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Hamzah kerana buku yang ditulis itu banyak membantu penulis ketika menyiapkan tesis di peringkat sarjana. Tanpa kajian yang teliti serta usaha bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh Hamzah, pasti pengarang menghadapi kesulitan menyiapkan tesis berkenaan. 

Seorang pejuang kemerdekaan negara India, Mahatma Gandhi pernah menghasilkan sebuah buku autobiografi yang menceritakan kisah hidup beliau setebal 667 muka surat. Dalam bahagian pengenalan buku yang bertajuk ‘Bahana Kesetiaan Teruji’ yang sudah dialih pelbagai bahasa di dunia itu, Gandhi menyatakan bahawa dirinya tidak mahu menulis riwayat hidupnya dalam ertikata yang sebenarnya. Dia hanya mahu mengisahkan berbagai-bagai rintangan yang dihadapi. Bagaimanapun, menurut Gandhi, beliau yakin kisah yang ditulis itu akan terbentuk sebagai riwayat hidup dan setiap lembaran akan menyuarakan perjuangan beliau. 

Gandhi mula menghasilkan karya sulungnya pada usia 12 tahun yang mengisahkan kehidupannya serta keluarganya. Pelajar lulusan Universiti College, London dalam bidang undang-undang ini banyak menghasilkan penulisan bagi membangkitkan kesedaran di kalangan rakyat India dan Afrika Selatan mengenai penindasan pihak penjajah. 

Berdasarkan dasar perjuangan Gandhi itulah kebanyakan penulisannya lebih ke arah membangkitkan semangat penduduk India dan Afrika Selatan menentang pihak penjajah. Kesannya, beliau pernah dipenjarakan oleh pihak penjajah British kerana dituduh menghasut. 

Disebabkan kecenderungan dalam perjuangan untuk membela anak bangsa dan mereka yang ditindas kebanyakan idea Gandhi yang kemudiannya ditulis serta dibukukan berkisar tentang perjuangan menuntut kemerdekaan dan membebaskan diri daripada dijajah. Antara penulisan beliau yang popular, An Autobiography: The Story of My Experience With Truth yang mengisahkan perasaan serta keinginan beliau mengajak pembaca menyelami mengenai dirinya.  Satyagraha In South Africa pula mengisahkan perasaan tidak puas hati beliau terhadap pemerintahan British di Afrika. To The Women, Gandhi Series pula mengisahkan tentang hak wanita. Juga, banyak lagi penulisan Gandhi yang kebanyakannya masih dibaca sehingga hari ini. 

Gandhi bukan saja hebat dari segi perjuangannya tetapi juga hebat dalam setiap karya yang dihasilkan. Pejuang yang mampu melakukan seperti mana yang dilakukan oleh tokoh pejuang dan falsafah ini harus dicontohi kerana penulisan mengenai diri dan matlamat perjuangannya akan lebih jelas jika ia ditulis sendiri oleh pejuang terbabit. Penulisan yang memperoleh idea dan seterusnya mencoretkan pejuangannya melalui pena serta menggunakan tatabahasa serta ayat yang tepat maka matlamat perjuangan pasti dapat difahami dengan mudah oleh masyarakat. 

Othman Puteh (2001) menyatakan bahawa untuk melahirkan atau membentuk pengarang yang baik memerlukan prasyarat iaitu bakat, minat, cita-cita atau keazaman, banyak membaca, kajian, atau penyelidikan, disiplin dan pengurusan waktu. 

Dunia penulisan kreatif juga memerlukan calon pengarang bijak manafaatkan bakat yang ada pada dirinya serta bekerja keras bagi mencapai ke arah cita-cita menjadi seorang pengarang yang baik. Othman seterusnya menambah untuk merealisasikan impian itu perlu juga manafaatkan lima pancaindera yang disediakan oleh Allah S.W.T iaitu persepsi; sensitiviti; imaginasi; kreativiti dan keterampilan. 

Selain yang dinyatakan oleh pengarang-pengarang terbabit, seseorang yang ingin membentuk diri sebagai penulis atau pengarang memerlukan satu matlamat, usaha bersungguh-sungguh dan beberapa perkara lain supaya impian itu dapat dijadikan kenyataan. 

Membincangkan hal yang dinyatakan itu, penulis tertarik dengan pandangan Zamri Mohamad (2009). Zamri senaraikan beberapa langkah yang harus dilakukan bagi mencapai matlamat tersebut. Antara langkah-langkah yang dinyatakan adalah jelas tujuan seseorang itu menulis di samping mempunyai pendirian yang tetap bagi mencapai cita-cita menjadi penulis; menjadikan penulisan penulis lain sebagai contoh; membaca dan menulis harus bergerak serentak; sentiasa berusaha perbaiki penulisan; jangan terlalu terpengaruh atau terkeliru dengan pandangan, teori, kaedah serta teknik penulisan yang pelbagai; dan penulis harus melangkau zaman. 

Seterusnya, Zamri Mohamad menyatakan bahawa fokus (tumpuan) mampu membantu penulis menjadi pengarang yang baik. Fokus juga mampu meningkatkan kemahiran menulis, hasil yang bakal diperolehi, subjek yang ingin ditulis dan pembaca yang bakal membaca karya yang ditulis. 

Menyentuh mengenai pengalaman pengarang, setiap idea yang diperolehi akan disimpan untuk tempoh tertentu (mungkin seminggu atau sebulan). Jika penulis merasakan idea itu adalah yang terbaik untuk dijadikan sebuah manuskrip novel, penulis akan meneruskan penulisan manuskrip berkenaan. Ingin dinyatakan di sini bahawa setiap tempoh masa berehat yang dinyatakan itu, pastinya terdapat beberapa idea tambahan yang boleh ditambah dalam manuskrip yang sedang dirangka. Penambahan idea itu berhubung kait dengan perkembangan seseorang mengenai sesuatu isu atau perkara yang diketengahkan dalam karyanya. Kebiasaannya pengarang muda akan menghadapi masalah kerana hampir setiap hari mereka akan bertemu dengan sesuatu yang baru dan mungkin akan mengubah persepsinya mengenai sesuatu perkara. Seterusnya akan mengubah matlamat akhir sesuatu penulisannya. Mengatasi masalah ini, pengarang muda terutamanya dinasihatkan membuat penyelidikan atau meningkatkan persepsi atau pemerhatian supaya sesuatu yang dikarang akan lebih matang berbanding usia pengarang. 

Merangka sesuatu yang ingin dikarang juga adalah langkah yang sesuai bagi mengelakkan kecelaruan ketika mengarang. Semasa menyiapkan beberapa manuskrip novel, pengarang merangka manuskrip berkenaan dan seterusnya melengkapkan rangka itu dengan merangkumi pembahagian bab dan watak utama. Rangka asal itu kadangkala mengalami perubahan kira-kira 40 peratus bagi menyesuaikan pembahagian bab yang dirancang. 

Kaedah yang digunakan itu didapati mampu membantu pengarang memastikan novel yang sedang disiapkan mengikut rangka yang dibuat sebelum ini. Juga, bagi mengelakkan penulisan yang dihasilkan mengelirukan pembaca. 

Membayangkan sesuatu melalui imaginasi tidak semua penulis mampu lakukannya. Cara terbaik untuk menghasilkan sesuatu karya adalah dengan mendekati atau berada di samping sesuatu perkara yang ditulis. Contohnya, untuk merasakan saat-saat kematian terlalu sukar dibayangkan oleh mereka yang berada dalam keadaan sihat. Adalah disyorkan seseorang penulis yang ingin menghayati watak seseorang yang sedang dalam keadaan nazak adalah dengan melawat mereka yang dalam keadaan demikian. 

Begitu juga bagi seseorang penulis yang sedang menulis mengenai suasana hidup di rumah anak-anak yatim. Adalah penting baginya untuk berkunjung ke rumah anak-anak yatim dan melihat serta merasakan sendiri kehidupan penghuninya. 

Selain itu, seperkara yang perlu difikirkan bersama bahawa setiap pengarang pasti akan menghadapi saat-saat kekeringan idea. Perkara ini adalah biasa berlaku kepada kebanyakan pengarang. Dinasihatkan pengarang berehat untuk beberapa hari dan melakukan aktiviti yang berfaedah seperti berkebun, melancong dan sebagainya. Kebiasaannya selepas berehat, otak akan bertambah segar dan banyak idea-idea baru akan muncul dan pengarang boleh mengarang semula. Keletihan otak berkarya juga boleh menyebabkan kekeringan idea. Otak dan sistem saraf memainkan peranan penting dalam pergerakan tubuh, tingkahlaku dan perkembangan seseorang yang bermula dari janin. 

Abdul Fatah Hasan (1999) menyatakan: 

“Sebagai alat penjana dan penyelidik ilmu, otak mempunyai fungsi yang amat menakjubkan. Hampir 900 tahun dahulu, Imam Ghazali telah menyedari hakikat ini. Beliau telah menyarankan dan telah mengenalpasti sekurang-kurangnya ada lima fungsi utama otak iaitu ingatan, visual atau bayangan, perasaan, sintesis dan daya berfikir. 

Ingin dijelaskan di sini bahawa sesuatu penulisan yang baik mempunyai hubungan dengan idea serta faktor-faktor pembentukan idea terutamanya membabitkan otak yang sihat. Pada ketika idea bermain di fikiran seseorang penulis, ia harus menjawab 5W 1H (What – Apa; Why – Kenapa; Who – Siapa; Where – Di mana; When – Bila; dan How - Bagaimana). Maklumat yang bakal ditulis oleh seseorang penulis haruslah mampu menjawab kesemua yang dinyatakan itu. 

Bagi menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai pengembangan idea, di sini penulis sertakan contoh petikan novel yang bertajuk ‘Penghujung Dunia’: 

Kenangan sepuluh tahun yang lalu, ketika aku masih berada di bangku sekolah menjelma di petang hari itu. Ketika itu, embun masih menitis membasahi bumi. Pokok-pokok bunga pula begitu gembira menerima kehadiran embun pagi. Kehijauan pepohon yang kehijauan, menyegarkan mata memandang. Berdiri di depanku kini adalah sebuah bangunan yang begitu kukuh terbina. Sekolah yang telah mengenalkan aku tentang erti sebuah rindu, cinta, dan sayang. 

Dari kejauhan aku mengekori seorang gadis dengan langkah pantas, sesekali aku berlari-lari anak untuk menyekat pergerakannya yang dirasakan semakin menjauh. 

“Mira!” Aku memanggil namanya. 

(Petikan novel Penghujung Dunia. ms 55) 

 

Berdasarkan contoh di atas, penulis menjadikan alam sekeliling sebagai sumber ilham atau idea.  

Seperkara yang turut penting adalah menggunakan kreativiti bagi menghasilkan karya yang bermutu. Perbincangan mengenainya ada dibincangkan di bab empat. 

Bagaimanapun, cara pengembangan idea ini hanya panduan asas, terserah kepada seseorang individu untuk menggunakan kaedah menulis yang dirasakan sesuai untuk dirinya. Setiap pengarang mempunyai gaya dan cara penulisan yang tersendiri. 

Pengembangan idea juga harus dilihat kepada jenis penulisan. Adalah sesuatu yang kurang sesuai jika ketika menghasilkan manuskrip mengenai buku masakan, gaya penulisan novel terutamanya ‘bermain-main dengan bahasa’ dan ‘imaginasi’ digunakan genre (kategori atau jenis karya sastera atau seni yang dicirikan dengan sesuatu gaya, bentuk atau kandungan tertentu) penulisan terbabit. Contohnya; 

Suasana yang aman dan damai menyenangkan hati ini untuk memasak sambal petai yang ku beli di kedai Pak Mat. Perjalanan ke sana pula mengambil masa 30 minit, sungguh memenatkan.”. 

Gaya penulisan sedemikian untuk buku masakan dilihat tidak sesuai dengan buku resipi masakan. 

Membicarakan mengenai idea. Setiap idea yang diperolehi oleh pengarang kebiasaannya akan disimpan untuk tempoh masa tertentu (mungkin seminggu atau sebulan). Jika pengarang merasakan idea itu adalah yang terbaik untuk dijadikan sebuah manuskrip, pengarang akan meneruskan penulisan manuskrip berkenaan. Ingin dinyatakan di sini bahawa setiap tempoh masa berehat, pastinya terdapat beberapa idea tambahan yang boleh ditambah dalam manuskrip yang sedang dirangka. Seterusnya, pengarang melengkapkan rangka itu dengan merangkumi pembahagian bab dan watak utama. Rangka asal itu kadangkala mengalami perubahan kira-kira 40 peratus bagi menyesuaikan pembahagian bab yang dirancang. 

Pelbagai persoalan pernah diajukan kepada pengarang mengenai perkara itu antaranya, “Saya ada idea yang bagus tetapi tidak ada orang yang boleh menulis kisah ini untuk dijadikan sebuah novel yang bermutu”. Mengapa tidak pencetus idea terbabit yang menulis apa yang terfikir olehnya dan mendapat hasil lumayan itu? 

Adalah lebih baik pencetus idea itu berkata, “Daripada aku berangan-angan memastikan idea ini menjadi kenyataan adalah lebih baik aku sendiri yang menulisnya dan serahkan kepada penerbit.” Kata-kata seperti itu sepatutnya dilahirkan oleh pencetus idea yang kerap mendesak seseorang pengarang menghasilkan ideanya menjadi sebuah manuskrip buku. 

Kebiasaannya, pengarang akan menolak tawaran untuk berkongsi idea dengan pencetus idea kerana: 

a. Ego. Penulis mempunyai ego dan matlamat dalam penulisan yang berbeza. 

b. Kreativiti berbeza. Penolakan yang dilakukan oleh penulis kebiasaannya juga disebabkan oleh kreativiti ketika berkarya. Kreativiti seseorang penulis kebiasaannya dipengaruhi oleh latar belakang, pengalaman, tahap pendidikan, budaya, dan sebagainya. 

Dinasihatkan, daripada mengharapkan idea yang baik itu dijadikan dalam bentuk penulisan adalah lebih baik jika pencetus idea terbabit memulakan langkah awal menulis dan menjadikan impiannya itu satu kenyataan. 

 

Sebelum mengakhiri bab ini penulis menasihatkan bakal pengarang sama ada lelaki atau wanita supaya dapat menyelami jiwa jantina yang berbeza dengannya. Jika dirinya seorang lelaki, dinasihatkan bakal pengarang dapat memahami mengenai jiwa seorang wanita, sekurang-kurangnya 60 peratus mengenai wanita. Seperti mana yang pernah dilakukan oleh pengarang ketika disentak dengan ‘Cinta Pertama’, pengarang berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan jawapan di sebalik perasaan gelora cinta yang dialami itu. Hampir dua tahun pengarang mencari erti ‘Cinta Pertama’. Sambil mencari, pengarang mengarang dalam bentuk puisi, ayat-ayat cinta, cerpen sebaik maksud itu mulai ditemui. Akhirnya pengarang berjaya mengembangkan cerpen yang berkisar mengenai erti cinta dalam bentuk manuskrip novelet (novel pendek) dan dikembangkan menjadi manuskrip novel yang ketebalannya melebihi 100 muka surat.  

Novel berkenaan diberi tajuk ‘Harapan Kekasih’. Novel berkenaan buat pertama kali diserahkan kepada sebuah penerbit untuk dinilai ketika pengarang berada di semester tiga di UiTM Shah Alam (sekitar tahun 1993). Bagaimanapun, novel berkenaan ditolak oleh sebuah penerbit dengan alasan tidak menerbitkan novel remaja. Setahun kemudian, untuk kali kedua pengarang menyerahkan kepada novel berkenaan kepada syarikat Creative Enterprise Sdn Bhd pada awal tahun 1995, iaitu semasa menjalani latihan amali di syarikat berkenaan. Beberapa bulan kemudian dinyatakan manuskrip novel itu setuju untuk diterbitkan. Malangnya sekali lagi, semasa menunggu giliran untuk diterbitkan manuskrip novel (setebal kira-kira 120 muka surat) itu dikembalikan dengan alasan ‘lain-lain sebab’. Dipercayai mempunyai kaitan kegawatan ekonomi dunia 1997/98. Manuskrip novel berkenaan kemudiannya disimpan untuk tempoh kira-kira setahun tanpa disentuh. Pengarang meneruskan dengan penulisan manuskrip novel baru yang bertajuk ‘Penghujung Dunia’. 

Semasa menyiapkan manuskrip berkenaan pengarang mendapati sebahagian daripada novel berkenaan sesuai disertakan dalam manuskrip novel ‘Penghujung Dunia’. Sebanyak kira-kira 80 muka surat manuskrip novel berkenaan berjaya disertakan dalam novel terbaru itu. Jangkaan awal bahawa manuskrip itu tidak mendapat tempat di kalangan penerbit akhirnya berakhir apabila novel ‘Penghujung Dunia’ berjaya diterbitkan pada tahun 2005. 

Pengalaman itu menguatkan semangat pengarang untuk terus menghasilkan penulisan demi penulisan terutama dalam penulisan novel. Hingga penulisan ini disiapkan, tiga naskhah novel pengarang berjaya diterbitkan dan sebuah manuskrip novel pula berjaya dihasilkan, di samping lain-lain penulisan. 

Memahami mengenai jantina yang berbeza (hubungan sesama manusia) juga dapat memantapkan penulisan seseorang pengarang. Selain itu, sasaran pembaca juga akan lebih luas, tidak hanya berfokus kepada sesuatu golongan sahaja. Contohnya, Jk Rowling yang popular dengan buku-buku dan filem-filem Harry Potter. Beliau seorang wanita yang berjaya menghayati watak seorang kanak-kanak lelaki yang bernama Harry Potter. Hingga penulisan ini disiapkan beliau berjaya menyiapkan tujuh siri kisah mengenai Harry Potter dan buku yang dihasilkannya sudah diedarkan di lebih 200 negara dan diterjemahkan dalam 65 pelbagai bahasa di dunia. 

 

   Jk Rowling bersama satu daripada karyanya. 

 

Sesuatu penulisan kreatif juga akan lebih bermakna jika pengarang mempunyai pengetahuan am yang luas mengenai kehidupan lain-lain kaum, bangsa atau kerakyatan. Penulisannya yang diiringi dengan pengetahuan am yang luas itu membantu menghasilkan sesuatu penulisan diterima oleh lain-lain masyarakat yang berbeza agama, bangsa dan negara. Juga, membolehkan penulisan itu mudah diterima oleh masyarakat dunia amnya. Contohnya, buku yang ditulis oleh Pramoedya Ananta Toer, bertajuk Keluarga Gerilya yang berkisar mengenai tema kemanusiaan, tentang perjuangan menentang penjajahan Belanda sudah diterjemahkan kepada lebih 10 bahasa dunia. 

 

   Pramoedya Ananta Toer  

 

 Keluarga Gerilya yang ditulis oleh Pramoedya 

 

 


(Artikel ini dikemaskini pada 20.12.2020: jam 7.00pm)
Penulis tidak bertanggungjawab terhadap pandangan melalui artikel ini dan ianya adalah pandangan peribadi daripada pemberi sesuatu pandangan.
Sulaimansallehkuis2.blogspot.com @ copyright2020

Ulasan

Covid-19: Semoga virus Covid-19 segera ditemui vaksin penyembuhnya kerana dunia semakin sengsara

COVID-19: India cemas, jangkitan hampiri 70k sehari.

COVID-19: Gelombang baharu, Malaysia harus menang.

COVID-19: Gelombang baharu, Selangor atasi Kedah

COVID-19: Ancaman baru, bermutasi dan semakin kebal.

COVID-19: Rabu (12.8.2020), viral pelajar dijangkiti sedang disiasat.

COVID-19: 11 kes baru, 5 kes libatkan pelajar sekolah rendah.

COVID-19: Penularannya, Malaysia pernah hampir menang.

COVID-19: ASEAN, 2 negara kritikal, 2 negara kematian sifar.

COVID-19: Data rasmi, Indonesia, jangkitan lepasi 100,000.