4.1 PENGENALAN KREATIVITI
Terdapat pelbagai takrifan kreativiti. Pandangan dan pengertian yang berbeza ini adalah berpunca daripada istilah kreativiti dalam pelbagai bentuk sesuai dengan kajian dan pandangan tokoh-tokoh akademik dalam bidang dan disiplin tertentu.
Kreativiti berasal daripada perkataan Latin iaitu ‘creare’ bermaksud ‘membuat’. Manakala, daripada perkataan Greek pula ‘creare’ bermaksud memenuhi’. kebolehan mencipta, menghasilkan dan mengembangkan sesuatu idea baru Kamus Dewan (2010) mentakrifkan kreativiti sebagai satu kemampuan (kebolehan) mencipta daya kreatif, kekreatifan manakala kreatif pula sebagai mempunyai dan asli. Dalam konteks ini, ianya merujuk kepada kebolehan dan kemampuan seseorang menghasilkan sesuatu yang kreatif, baru dan asli. Ada juga pendapat yang mentakrifkan kreatif dan kreativiti sebagai penghasilan sesuatu yang tidak ada sebelumnya.
Secara ringkasnya kreativiti melibatkan daya berfikir, dan kemahiran berfikir. Justeru kreativiti sebenarnya boleh dibentuk dan dilatih. Ramai pengkaji mengklasifikasikan kemahiran berfikir secara kreatif sebagai kemahiran menggunakan otak kanan. Individu yang mempunyai kebolehan ‘kreatif’ biasanya mempunyai perasaan istimewa dan eksklusif kerana individu ini dianggap mempunyai kualiti sejati yang jarang ditemui (Md Nasir Iberahim dan Iberahim Hassan, 2003).
Berikut adalah ciri-ciri individu yang kreatif:
Bersifat fleksibel
Seseorang yang kreatif berupaya untuk menyesuaikan dirinya dalam pelbagai keadaan dan situasi selain mempunyai keyakinan optimis. Sebagai contoh, sekiranya berlaku kemalangan kecil semasa menjalankan aktiviti seni mereka tidak cepat panik malahan cepat bertindak meredakan keadaan dan cuba menyelesaikannya secepat yang boleh mengikut keadaan dan kesesuaian.
Sensitif dan peka.
Individu ini mempunyai daya sensitiviti yang tinggi terhadap keadaan sekelilingnya termasuk gaya hidup, keperluan, persekitaran dan turut sensitif menggunakan deria. Antara ciri lain adalah kepekaan terhadap alam sekitar serta mempunyai deria dalaman yang sangat sensitif terhadap persepsi estetik.
Gagasan/ idea yang asli dan tulen.
Seseorang yang dikategorikan sebagai kreatif sering kali mengutarakan idea dan gagasan yang asli. Ini bermakna, cetusan idea bukanlah hasil cedokan daripada mana-mana sumber. Idea mereka unik dan menarik, malah tidak stereotaip dan juga tidak kovensional. Mereka ini biasanya menghasilkan kerja dan karya mengikut cetusan rasa. Hasil karya yang mereka hasilkan sering kali berbeza daripada yang biasa.
Bersifat terbuka.
Mempunyai sifat keterbukaan di dalam menerima pandangan dan pendapat orang lain mengenai hasil karya dan kerja mereka. Mengamalkan sikap bebas serta demokratik.
Logik.
Individu yang kreatif sering berfikir secara logik dan rasional. Mereka tahu membezakan yang baik dan tidak baik. Selain itu mereka juga sangat menghormati masa.
Berfikiran bebas.
Golongan kreatif ini mempunyai daya pemikiran yang tidak terkongkong pada satu-satu perkara sahaja. Golongan ini pandai dan bijak merancang agar projek dan perkara yang dirancang selamat dan berjalan lancar. Pada kebiasaannya mereka ini sangat berhati-hati dan bijak membuat keputusan.
4.2 HUBUNGAN KREATIVITI DAN PENULISAN
Menyentuh mengenai hubungan kreativiti dan penulisan, penulis mengambil beberapa pandangan yang dikemukakan oleh Ainon Mohd dan Profesor Emeritus Abdullah Hassan. Menurut Abdullah Hassan dan Ainon Mohd (2005), pemikiran kreatif ditandai oleh keupayaan melihat sesuatu daripada pelbagai sudut dan menghasilkan pelbagai cara untuk melakukan sesuatu yang baru atau dari sudut yang baru.
Mengaitkan apa yang dinyatakan oleh Abdullah Hassan dan Ainon Mohd itu, jelas menunjukkan bahawa penulisan dan kreativiti mempunyai hubungan yang sungguh rapat serta saling perlu memerlukan. Penulis yang kreatif juga berkeupayaan melahirkan penulisannya yang pelbagai persepsi, pelbagai konsep, pelbagai idea, pelbagai cara menyelesaikan masalah, pelbagai cara meleraikan konflik, pelbagai reka cipta, pelbagai strategi dan taktik.
Ketika menghasilkan karyanya pula pelbagai cara digunakan antaranya pelbagai prosedur kerja, pelbagai teori, pelbagai hipotesis, pelbagai peraturan, pelbagai hasil perundingan.
Jika diteliti kepada pandangan yang dikemukakan oleh kedua-dua sarjana terbabit dapat dinyatakan bahawa terdapat karya kreatif yang dihasilkan oleh penulis barat seperti Afred Hitchock, Daniell Steele dan Barbara Cartland diadaptasikan ke dalam filem. Begitu juga di negara ini terdapat beberapa karya kreatif yang dihasilkan penulis seperti Othman Zainuddin, Khadijah Hashim, Usman Awang dan A Samad Said bakal atau sudah diadaptasikan ke dalam bentuk drama atau filem.
Mengukuhkan pandangan yang dikemukakan oleh Abdullah Hassan dan Ainon Mohd itu. Di sini, penulis mengambil contoh kejayaan yang dicatatkan oleh Khadijah Hashim yang sehingga penulisan ini disiapkan beliau berjaya menghasilkan 13 novel; cerpen, 15; cerita kanak-kanak, 8; dan lain-lain penulisan seperti drama radio.
Sekadar mengambil contoh novel bertajuk ‘Badai Semalam’, karya yang dihasilkan oleh Khadijah Hashim ini jelas menunjukkan bahawa beliau seorang yang kreatif. Didapati penulis berani menyelitkan idealisme baru yang berlandaskan kepada kehidupan tradisional.
Novel yang mengisahkan anak tuan rumah jatuh cinta kepada anak pembantu rumahnya ini diiringi dengan plot yang jelas mudah difahami oleh pembaca. Cerita yang digarap melalui kreativiti yang menarik berupaya mengikat pembaca untuk terus membaca novel berkenaan. Di samping kisah yang diwujudkan melalui kreativiti penulis, didapati terdapat amanat lain yang ingin disampaikan oleh penulis. Antaranya, untuk mencapai sesuatu kejayaan, seseorang haruslah berusaha bersungguh-sungguh di samping memastikan usaha yang dilakukan itu berada di landasan yang benar.
Secara ringkasnya, di sini penulis senaraikan langkah-langkah menghasilkan penulisan atau manuskrip yang baik seperti yang terdapat pada rajah di sebelah:
Idea
(Buah fikiran atau gagasan yang dijadikan saranan)
(imaginasi, falsafah kehidupan (diri), pemikiran (aliran pemikiran), akal dan kreativiti disertakan
semasa berkarya)
Proses menyiapkan manuskrip
Prihatin terhadap pergolakan kehidupan sekeliling
Mendalami ilmu yang berkaitan
Menggunakan pengalaman yang sesuai
Manafaatkan bakat semulajadi atau yang diasah
Telus semasa berkarya
Kesan sampingan (mendorong)
Hasil daripada carta yang dinyatakan itu. Semasa sesuatu penulisan dihasilkan seseorang pengarang haruslah mempunyai matlamat yang jelas mengenai arah tuju penulisannya. Pengarang juga harus berdedikasi, sanggup mengabdikan diri dan masa kepada bidang penulisan; berdisiplin; pengurusan waktu yang baik; komitmen dengan usaha yang dilakukan; prihatin terhadap pergolakan kehidupan sekeliling; mendalami ilmu yang berkaitan; menggunakan pengalaman sesuai; manafaatkan bakat semula jadi atau yang diasah; telus semasa berkarya; dan penguasaan bahasa yang baik.
Pengarang yang mematuhi perkara-perkara yang dinyatakan itu mampu mendorong dirinya menambahkan kepandaian; berketerampilan dalam berkarya; lebih kreatif; bersabar; tekun; teliti; dan hasilnya seseorang pengarang akan memperoleh ganjaran sama ada dalam bentuk kepuasan atau wang.
Bagaimanapun, sebelum yang dinyatakan itu menjadi kenyataan seseorang pengarang haruslah mempunyai buah fikiran atau idea yang baik. Idea yang baik mempunyai hubungan dengan otak. Otak yang sihat akan menghasilkan ilham yang sihat. Sebaliknya, otak yang tidak sihat akan menggerakkan hati untuk menghasilkan atau mencapai sesuatu yang tidak sihat kerana organ ini berfungsi untuk mengawal pemikiran serta perasaan seseorang. Dihalusi lagi, ilham yang terhasil melalui otak dipengaruhi oleh perasaan, fikiran, cita-cita dan sebagainya yang terkandung dalam hati yang dikenali sebagai jiwa.
Seterusnya, penghasilan penulisan yang baik juga harus melihat dari segi pembentukan jiwa yang mempunyai hubungan dengan ciptaan Tuhan seperti hubungan sesama manusia, hubungan dengan alam dan haiwan. Persoalan itu akan membawa diri pengarang untuk kembali kepada ajaran agama dan Tuhan yang Maha Agung.
Ulasan
Catat Ulasan