CERPEN: Bukan hati batu.

Oleh Sulaiman Salleh
Sulaimansalleh2015@gmail.com
(Pernah disiarkan di Metro Ahad pada 1 Ogos 2004)













KESEPIAN pagi ini mengingatkan aku kepada kenangan terhadap pengorbanan yang pernah dilakukan oleh seorang ayah.
      “Farid!” aku memanggil nama rakan niaga yang aku kenali tiga tahun lalu.
Perlahan-lahan Farid menoleh ke arah aku. Dari seraut wajahnya, aku tahu dia tidak senang dengan panggilan itu.
“Mengapa engkau begitu keras hendak menerima ayahmu kembali?” tanya aku lagi.
Farid masih membisu. Aku mengeluh. Perlahan-lahan aku bergerak menuju tingkap cermin di pejabat. Farid masih duduk membisu di kerusinya.
“Engkau bernasib baik kerana ayahmu masih ada dan dapat membesarkan kau sehingga berjaya dalam hidup,” nasihatku sambil berpaling ke arah Farid yang sudah memusingkan kerusinya ke arah luar.
“Aku kehilangan ayah ketika baru tujuh tahun. Pelbagai kesusahan yang aku lihat ketika ibu sendirian membesarkan kami adik-beradik,” aku sangat berharap kata-kataku dapat menyedarkan Farid.
Farid masih membisu. Dilepaskan pandangannya keluar dari jendela. Apa yang bermain di fikiran lelaki itu, aku tidak tahu. Mungkin ada sesuatu yang menyentuh hatinya sehingga menyebabkan begitu berat hatinya memaafkan ayahnya?
Perlahan-lahan aku melangkah mendekati Farid dan melabuhkan punggung di sebuah kerusi di depannya.
“Kenapa engkau begitu berdendam dengan ayah engkau, Farid?” Aku cuba mencungkil apa yang tersimpan di hati lelaki di depan aku itu.
Farid memalingkan kerusi ke arah aku. Ditenungnya aku seketika. Aku tahu matanya memandang ke arah aku, tetapi fikirannya jauh memikirkan sesuatu. Sesuatu yang aku tidak tahu.
“Ayah, aku tidak setia kepada ibu aku,” ringkas jawapan Farid.
“Ibu engkau sudah dua tahun meninggal dunia,” balas aku.
Farid diam lagi, sebelum menyambung: “ Cinta itu memerlukan kesetiaan.”
“Salah ke ayah engkau kahwin lagi?”
“Salah.”
“Engkau mesti faham, hidup dia mungkin sunyi selepas kehilangan ibu engkau. Dia memerlukan seorang teman.”
Farid diam. Perbualan kami terhenti lagi. Aku mengeluh. Beberapa ketika selepas itu, aku menoleh ke arah Farid.
“Ayah engkau masih memerlukan seorang wanita dalam hidup dia,” aku menyambung dengan harapan yang sama sejak tadi – supaya Farid lebih memahami.
“Ayah aku tidak setia dengan arwah ibu. Dia sanggup menyerahkan semua barang kemas yang ditinggalkan ibu kepada isteri muda dia,” jelas Farid.
“Itu mungkin andaian engkau saja. Ada engkau nampak ibu tiri engkau memakai barang kemas arwah ibu engkau?” Tanya aku.
Farid diam. Mengeluh.
“Setiap tuduhan mesti ada bukti, jangan ikut perasaan,” kata aku.

MALAM. Perlahan-lahan Pak Lasim mendekati Farid yang menonton sebuah rancangan di televisyen.
“Farid,” pendek saja teguran Pak Lasim kepada anaknya yang pada seraut wajahnya tidak senang dengan kehadirannya di situ. Pak Lasim melabuhkan punggungnya di sofa.
“Engkau dah makan? Tanya Pak Lasim.
“Dah…,” Pendek saja jawapan Farid.
“Tadi, Mak Ijah masak lauk yang engkau suka,” kata Pak Lasim.
Farid diam. Pak Lasim mengeluh. Matanya memandang seraut wajah Farid yang tertumpu di kaca televisyen.
“Kami tunggu engkau untuk makan malam sama-sama, tapi engkau balik lewat. Si Lijah adik engkau dah cuba handphone kau, tapi tak berjawab,” jelas Pak Lasim.
Farid diam.
“Engkau banyak kerja kat ofis ke, jam 10 malam baru engkau balik?” Tanya Pak Lasim.
“Hari-hari kerja banyak!” Jawab Farid acuh tak acuh.
“Lijah kata engkau tak suka ayah kahwin lagi, betul ke?” Pak Lasim berterus-terang.
Farid diam.
Pak Lasim bangun, menuju daun pintu utama rumah. Perlahan-lahan kakinya melangkah menuju ke laman rumah dan melabuhkan punggungnya di sebuah kerusi besi di situ. Fikirannya melayang jauh, mengingatkan saat-saat bahagianya ketika bersama isteri pertama dan anak-anaknya.
“Abang mesti kahwin lagi kalau saya tak ada. Anak kita, terutama Lijah, masih perlukan seorang ibu,” kata Sharifah sambil memandang seraut wajah suaminya.
“Kita masih ada harapan, Ifah. Penyakit awak masih boleh dirawat,” bantah Pak Lasim.
“Kita hanya mampu berusaha, tapi Tuhan yang menentukan,’ Sharifah cuba menyedarkan suaminya bahawa dirinya kini di ambang maut.
“Abang mesti berjanji, jika saya dah tak ada lagi, abang mesti kahwin lagi. Ijah masih kecil, baru lapan tahun. Dia masih perlukan kasih dan sayang seorang ibu,” Sharifah mengulangi kata-katanya.
Pak Lasim menggenggam erat tangan isterinya.
“Baiklah,” kata Pak Lasim.
Sharifah tersenyum.
Senyuman isterinya masih terbayang. Senyuman itu juga menyedarkannya bahawa begitu hebat cinta dan sayang seorang isteri dan ibu kepada anaknya sehingga sanggup berkorban apa saja untuk kebahagiaan orang yang disayangi.


PAGI MINGGU. Pak Lasim mendekati Farid yang ada di ruang tamu.
“Tak ke mana ke hari ini, Farid?” Tanya Pak Lasim.
“Sekejap lagi saya nak keluar,” jelas Farid.
“Engkau masih marahkan ayah, Farid?” Pak Lasim mengharapkan Farid berterus-terang.
Farid diam. Pak Lasim duduk di sofa berhampiran anaknya.
“Sewaktu ibu kau masih hidup, ayah pernah berkata kepada dia, ayah tidak akan berkahwin lagi jika barah yang dihidapinya gagal dirawat. Namun, ayah ditegah untuk berpegang kepada janji itu. Ibu kau memaksa ayah berkahwin lagi jika usaha merawat barah yang dihadapi gagal,” jelas Pak Lasim.
Farid diam.
“Mungkin engkau tidak memerlukan lagi seorang ibu, tetapi adik kau, Ijah…. Dia masih kecil. Bagaimana ayah hendak membesarkannya tanpa kasih dan sayang seorang ibu,” sambung Pak Lasim.
Farid masih diam. Pak Lasim merenung seketika wajah anaknya. Perlahan-lahan dia bangun meninggalkan Farid keseorangan di ruang tamu. Mengharapkan anaknya memikirkan penjelasannya semasak-masaknya.
Beberapa ketika kemudian, Farid bangun menghampiri ayahnya yang ada di laman rumah.
“Ayah… saya minta maaf,” kata Farid. Pak Lasim tersenyum.

*** SEKIAN ***
(Artikel ini dikemaskini pada 5.12.2020: jam 6.00pm)
Penulis tidak bertanggungjawab terhadap pandangan melalui artikel ini dan ianya adalah pandangan peribadi daripada pemberi sesuatu pandangan.
Sulaimansallehkuis2.blogspot.com @ copyright2020

Ulasan

Covid-19: Semoga virus Covid-19 segera ditemui vaksin penyembuhnya kerana dunia semakin sengsara

COVID-19: India cemas, jangkitan hampiri 70k sehari.

COVID-19: Gelombang baharu, Malaysia harus menang.

COVID-19: Gelombang baharu, Selangor atasi Kedah

COVID-19: Ancaman baru, bermutasi dan semakin kebal.

COVID-19: Rabu (12.8.2020), viral pelajar dijangkiti sedang disiasat.

COVID-19: 11 kes baru, 5 kes libatkan pelajar sekolah rendah.

COVID-19: Penularannya, Malaysia pernah hampir menang.

COVID-19: ASEAN, 2 negara kritikal, 2 negara kematian sifar.

COVID-19: Data rasmi, Indonesia, jangkitan lepasi 100,000.