ASAS PENULISAN: BAB 5
BAB 5
KEPENGARANGAN DAN FALSAFAH
5.1 PENGENALAN FALSAFAH
Membincangkan bab ini pembaca harus memahami maksud serta sebab kewujudan bidang kefalsafahan itu sendiri. Kamus Dewan (2010) mendefinisikan falsafah sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain.
Memahami hubungan yang dibincangkan ini berdasarkan definisi berkenaan dilihat maksud falsafah masih samar. Diperjelaskan lagi, manusia adalah sebaik-baik kejadian yang diciptakan oleh Allah SWT. Walau bagaimanapun, hakikat yang sebenarnya masih terdapat kelemahan-kelemahan serta persoalan yang membabitkan diri sendiri, asal usul kejadian alam serta hidupan lain masih tidak difahami oleh manusia. Kelemahan-kelemahan itu mendorong manusia untuk membongkar sambil berfikir bagi mendapatkan jawapan di sebalik misteri yang wujud di hadapannya itu. Hasilnya, lahirlah pelbagai bidang ilmu antaranya bidang ilmu kefalsafahan yang dipelopori oleh bangsa Yunani kira-kira 2500 tahun dahulu.
5.2 KEPENGARANGAN DAN FALSAFAH
Mungkin terdapat pembaca mempersoalkan apakah hubungan bidang falsafah dan bidang penulisan? Hal ini perlu diperjelaskan kerana sesuatu bidang yang dipelajari haruslah turut dikenali penyumbang bidang berkenaan supaya ia mudah dipelajari serta difahami. Selain itu, seseorang tokoh falsafah sering meninggalkan ilmu falsafahnya dalam bentuk penulisan. Seperti mana yang dinyatakan oleh Azmi Aziz (2001):
“Imam Ghazali merupakan tokoh falsafah yang berteraskan ilmu tasawuf dan sememangnya disanjung tinggi di kalangan masyarakat Islam sedunia. Masa muda beliau dikorbankan dengan berjihad menuntut ilmu dan mengajar sehingga terhasilnya karya masyhur seperti Ihya’ Ulumuddin dan Minhajul Abidin, yang menjadi rujukan umat Islam hingga hari ini. Manakala Konfusius terkenal dengan ajarannya yang mengutamakan aspek pembentukan budi pekerti yang mulia dalam kehidupan, dan masih lagi menjadi ikutan masyarakat Cina pada masa kini. Mahatma Gandhi pula terkenal dengan idea revolusi mencapai kebenaran dan perdamaian secara aman. Gandhi turut memperkenalkan nilai-nilai agama dalam sistem politik negara melalui konsep Satyagraha. Seterusnya Martin Heidegger yang dianggap sebagai pelopor bidang feomenologi, begitu dikagumi kerana banyak menghasilkan penulisan berbentuk komentar terhadap karya sarjana sebelumnya. Karya beliau banyak diterjemah dan ditulis semula dalam pelbagai versi, termasuklah bahasa Jepun.”
Selain itu, Azmi menyatakan bahawa falsafah penting untuk membantu seseorang supaya berupaya berfikir secara mendalam, matang serta rasional. Bidang falsafah juga berupaya menghindarkan manusia daripada berfikiran sempit dan menjurus kepada sesuatu bidang sahaja. Berdasarkan penjelasan itu, jelas menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang jelas antara falsafah dan penulisan kerana seseorang pengarang harus mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan itu.
Melihatkan kepentingannya pengarang mencadangkan penyelidik-penyelidik muda terutamanya melakukan penyelidikan yang berterusan hubungan falsafah dan penulisan. Hal ini dibangkitkan kerana pengarang mendapati sehingga penulisan ini disiapkan didapati belum ada kajian khusus berkaitan falsafah dan penulisan di negara ini ditemui.
Saharil Hasrin Sanin (2011) menyatakan bahawa cerpennya yang bertajuk ‘Air Mata Orang Kaya’:
“Saya membayangkan hero cerpen ini sebagai Heraclitus, ahli falsafah Yunani yang diberi julukan filosof yang menangis (the weeping philosopher). Barangkali, Heraclitus menangis kerana melankolia memikirkan segala kemungkaran di sekelilingnya. Menurut Diogenes, Heraclitus sangat tidak setuju dengan kemanusiaan, membuatkan beliau sentiasa bersedih. Maka Tan Sri dalam cerpen ini dibayangkan menangis akibat dilema falsafah”.
Penulis tidak bertanggungjawab terhadap pandangan melalui artikel ini dan ianya adalah pandangan peribadi daripada pemberi sesuatu pandangan.
Sulaimansallehkuis2.blogspot.com @ copyright2020
Ulasan
Catat Ulasan