ISU SEMASA: Covid-19, "The Great Depression" ancam dunia.
Oleh Sulaiman Salleh
Sulaimansalleh2015@gmail.com
PERKATAAN "The Great Depression" sekitar tahun 1930-an sedang melanda dunia hari ini disebut oleh Yang Berhormat Senator Tengku Dato' Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentang Perbelanjaan Persekutuan 2021 pada 6 November lalu.
Istilah yang berlaku sebelum tercetusnya Perang Dunia Ke-2 itu seolah-olah gambaran bahawa kegawatan ekonomi yang melanda dunia pada masa kini setanding kejadian yang berlaku pada tahun 1930-an lalu.
Malah, Malaysia turut tergolong di kalangan 150 negara yang berhadapan pandemik Covid-19 dan sedang terjebak krisis ekonomi seperti era itu.
Mengetahui kesan krisis ekonomi dunia terbabit mendekatkan segelintir kefahaman bahawa dunia kini menghampiri era Perang Dunia Ke-3?
Mengimbau seketika Perang Dunia Ke-2, ianya bermula apabila Jerman menyerang Polandia pada 1 September 1939 dan berakhir pada 14 Ogos 1945 ketika Jepun menyerah kalah kepada tentera Amerika Syarikat.
Secara umumnya, antara punca tercetusnya Perang Dunia Ke-2 diakibatkan oleh fahaman ideologi yang berbeza serta faktor kemelesetan ekonomi yang berlaku di kebanyakan negara ketika itu.
Penulis bertanggapan, tercetusnya Perang Dunia Ke-3 berpunca pandemik Covid-19 adalah pandangan tidak jelas kerana dunia banyak mempelajari kesilapan yang dilakukan ketika tercetusnya perang besar itu.
Bagaimanapun, kesan kepada pertumbuhan ekonomi dunia, ianya sedang berlaku pada masa kini.
Kemeleseatan yang berlaku pada 29 Oktober 1929 hingga tahun 1939 itu bermula apabila pasaran saham di Amerika Syarikat jatuh mendadak dan kadar pengangguran juga bertambah pada skala besar.
Bermula akhir Oktober 1929 juga ianya terus melarat ke seluruh dunia apabila perbelanjaan pengguna merosot dengan teruk.
Hingga kini ahli sejarah dan ahli ekonomi dunia gagal mendapat persepakatan punca sebenar kemelesetan itu berlaku.
Berbeza masa kini, kemelesetan dunia yang sedang berlaku diakibatkan oleh pandemik sejenis virus pembunuh dikenali Covid-19.
Pemulihan daripada kemelesetan ekonomi dunia akibat virus Covid-19 hanya dapat dilakukan jika virus pembunuh ini berjaya dikawal melalui pematuhan garis panduan yang ditetapkan atau vaksin bagi menyekat penularannya.
Hingga kini, vaksin benar-benar berkesan bagi virus pembunuh ini belum ditemui. Sikap segelintir individu yang mengambil mudah pematuhan garis panduan yang ditetapkan juga dilihat antara punca penularan virus Covid-19 terus mengganas di kebanyakan wilayah dan negara.
Pada masa kini, hanya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pemerintah adalah cara terbaik mengawal penularan virus berbahaya itu ke dalam komuniti masyarakat.
Mengambil mudah keupayaan virus yang tidak berupaya dilihat dengan mata kasar ini menjangkiti serta memasuki tubuh badan manusia juga harus dihindari.
Semoga vaksin penyembuh virus pembunuh ini segera ditemui dan masyarakat negara ini terutamanya terus kental berhadapan pandemik yang sedang melanda negara.
(Artikel ini dikemaskini pada 7.11.2020: jam 10.00pm)
Penulis tidak bertanggungjawab terhadap pandangan melalui artikel ini dan ianya adalah pandangan peribadi daripada pemberi sesuatu pandangan.
Sulaimansallehkuis2.blogspot.com @ copyright2020

Ulasan
Catat Ulasan